KUCHING: Dalam keadaan dunia yang belum reda dengan situasi Covid 19, ia tidak menghalang kita sesama kita daripada merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun 2021 ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menyertai masyarakat Tiong Hua di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina SUPP secara virtual (maya) yang dianjurkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pagi ini tadi.
Dalam ucapan ringkasnya secara maya, Datuk Patinggi Abang Jo menyeru masyarakat Tiong Hua agar bersama-sama menjaga perpaduan sesama mereka dalam usaha mengharungi wabak Covid-19 seterusnya bersama Kerajaan merancang dasar yang baik bagi mempertingkatkan ekonomi Sarawak secara keseluruhannya.
Abang Jo beserta isteri, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang kemudiannya mengaul “Yee Sang” secara virtual (maya) sebagai simbolik sambutan Tahun Baharu Cina.
Dalam bahasa Cina, perkataan “Yee” bermaksud ikan yang turut membawa pengertian lain iaitu kekayaan berkekalan.
Perkataan “Sang” pula merujuk kepada mentah dan turut mempunyai maksud lain iaitu hidup serta kebangkitan. Pendek kata, hidangan Yee Sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur.
Turut serta dalam sambutan Tahun Baru Cina secara virtual adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, YB Dato’ Sri Sim Kui Hian dan beberapa kenamaan yang lain.