SHANGHAI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menamatkan lawatan kerja rasmi ke China yang memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang industri, ekonomi dan teknologi antara Sarawak dan negara tembok besar itu.
Abang Johari yang tiba di Nanjing pada 10 Disember lalu memulakan jadual lawatan semalam dengan menghadiri sesi dialog bersama kerajaan Wilayah Jiangsu di Xikang Guesthouse.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti (Tenaga dan Telekomunikasi) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie serta barisan pengurusan kanan PETROS.

Sejurus tamat sesi dialog tersebut, Abang Johari menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan China Jiangsu International (CJI) di ibu pejabat CJI.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETROS dan CJI bersama tujuh syarikat pelabur yang menyatakan komitmen untuk menyumbang sumber serta kepakaran bagi membangunkan taman perindustrian di KLCH.
Seterusnya, Premier mengadakan lawatan ke Suzhou Industrial Park (SIP) yang merupakan sebuah taman perindustrian bertaraf dunia dan berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Suzhou, Wu Qingwen.

Delegasi Sarawak juga melawat ibu pejabat Golden Concord Ltd. (GCL) iaitu sebuah syarikat teknologi tenaga bersih yang memfokuskan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta bahan teknologi maju.
Abang Johari kemudiannya berangkat ke Shanghai petang tadi sebelum dijadualkan berlepas pulang ke Sarawak esok.
Ketibaan beliau di Hotel Shangri-La Circle disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Mohd Shahafeez Shaharis, Konsul Pelancongan Aaron Gan Chai Heng serta Konsul Pelaburan MIDA, Mohd Sawaddee Islamuddin.
Satu majlis makan malam diadakan malam ini bagi menghargai kehadiran Premier serta delegasi yang melibatkan semua pegawai dan wakil terlibat sepanjang misi perdagangan tersebut.


