KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan simpati dan mendoakan lima mangsa perahu karam yang hilang semasa latihan regata di Sungai Sarawak ditemui segera.
Dalam insiden pada Jumaat, 11 daripada 16 peserta regata yang juga petugas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Premier Sarawak berjaya menyelamatkan diri.
Sementara lima lagi masih hilang selepas bot mereka karam susulan arus deras serta gelombang kuat daripada pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan dalam kejadian berhampiran Royal Bay Commercial Centre, di Kuching.
“Saya belum memperoleh maklumat yang terakhir, tetapi agensi serta pihak berkaitan masih giat menjalankan pencarian.
“Jadi, kita masih menunggu perkembangan dalam masa terdekat. Mudah-mudahan mereka semua dapat ditemui segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Dialog Awam pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di MITEC, di sini, hari ini.
Terdahulu pada Jumaat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada 4.20 petang dan mengerahkan sepasukan anggota untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Hari ini merupakan hari kedua operasi SAR dengan pasukan penyelamat memfokuskan kepada dua bahagian iaitu sekitar lokasi kejadian bot regata karam serta muara sungai.
Lima yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Mohamad Khairul Bidin, 26, dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23.


