ARTIKEL

SERU BUDAYA KEBERSIHAN… Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berucap ketika menyempurnakan Program IIC Cares @ Environment 2026: Our Mosque, Our Responsibility di Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat Lot, hari ini.

Abdul Karim seru masyarakat jadikan kebersihan budaya hidup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ASAJAYA: Penganjuran Program IIC Cares @ Environment 2026 memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan, khususnya di kawasan masjid dan surau, sekali gus menjadikan amalan tersebut sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata program berkenaan bukan sekadar membersihkan kawasan masjid, malah menggalakkan masyarakat mengimarahkan institusi berkenaan.

Menurut beliau, usaha memastikan kawasan masjid dan surau sentiasa bersih perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat kerana kebersihan bukan hanya terhad kepada rumah ibadat, sebaliknya perlu menjadi budaya hidup setiap individu.

RAKAM KENANGAN… Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu kehormat merakam gambar kenangan bersama penduduk Kampung Tambirat Lot.

“Saya ingin memaklumkan, kebersihan sepatutnya menjadi budaya hidup bukan sahaja di masjid tetapi juga dalam diri dan rumah tangga kita. Semuanya bermula daripada diri sendiri.

“Apabila kita benar-benar menjiwai bahawa kebersihan itu penting, kita akan menjaga diri, rumah dan secara tidak langsung turut memastikan masjid dan surau berada dalam keadaan bersih serta terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program IIC Cares @ Environment 2026: Our Mosque, Our Responsibility di Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat Lot, di sini, hari ini.

Tambahnya, program anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) menerusi Pusat Informasi Islamik (IIC) dengan kerjasama jawatankuasa kampung dan masjid merupakan satu usaha yang amat baik untuk menyemai budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat.

SIMBOLIK PENANAMAN… Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga kiri) diiringi tetamu kehormat menyempurnakan simbolik penanaman pokok bunga pada Program IIC Cares @ Environment 2026.

“Program seperti ini bukan sahaja diadakan di kawasan Samarahan dan Asajaya, malah saya difahamkan turut dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Program IIC Cares @ Environment 2026 merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh IIC-MIS yang memberi penekanan kepada pemerkasaan budaya kesukarelawanan, pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan rumah ibadat sebagai aset penting pembangunan masyarakat.

Bertemakan Our Mosque, Our Responsibility (Masjid Kita, Tanggungjawab Kita), program ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat setempat dalam satu platform kolaboratif bagi memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kebersihan, keceriaan dan kelestarian kawasan masjid.

Program itu juga bertujuan meningkatkan budaya kesukarelawanan, mengukuhkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata pendidikan dan ilmu pengetahuan mampu membentuk sikap masyarakat serta mengubah amalan kehidupan ke arah yang lebih baik.

Menurut beliau, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan kini semakin meningkat apabila penduduk tampil memaklumkan kepada wakil rakyat, ketua masyarakat dan pihak pentadbir sekiranya tiada perkhidmatan kutipan sampah di kawasan mereka.

“Ini menunjukkan bahawa sudah ada kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kebersihan. Mereka sedar jika sampah dibuang di hadapan rumah atau ke sungai, ia akan menyebabkan pencemaran dan akhirnya mereka sendiri yang menerima kesannya,” tegasnya.

Beliau berkata pendidikan dan kesedaran yang dibawa melalui program hari ini perlu dihayati sebaik-baiknya, sekali gus menyeru pemimpin akar umbi, khususnya ketua masyarakat, supaya sentiasa menasihati dan membimbing penduduk setempat agar mengamalkan gaya hidup bersih.

“Mungkin ia mengambil masa, tetapi jika dididik secara berterusan, sedikit demi sedikit amalan itu akan menjadi sebahagian daripada cara hidup,” jelasnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU