ARTIKEL

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah), Fatimah Abdullah (tiga dari kiri) bersama kenamaan lain bergambar bersama Abdul Rahman (empat kanan) dan Kunchi Banseng (empat kiri), penerima Anugerah Ikon Wellbest. (RAMIDI SUBARI)

Abdul Rahman cekal usahakan pertanian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usia 67 tahun bukan penghalang buat Abdul Rahman Meran untuk terus mengusahakan kolam ikan dan tanaman demi menyara keluarga, termasuk isteri serta tiga anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Bapa lapan anak dari Kampung Gumpey, Gedong itu berkata, empat anaknya sudah berkahwin, manakala anak bongsunya yang berusia 17 tahun bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, daripada tiga anak yang masih tinggal bersamanya, seorang mempunyai masalah kesihatan mental, seorang mengalami masalah pembelajaran sejak kecil, manakala seorang lagi kerap mengalami sawan.

Awang Tengah menyampaikan Anugerah Khas Usahawan Mikro Kebajikan Berjaya 2026 kepada Abdul Rahman, disaksikan Fatimah dan kenamaan lain. (RAMIDI SUBARI)

“Saya pernah melalui pelbagai kegagalan dan kerugian akibat banjir, tetapi saya tetap teruskan usaha kerana pertanian masih mampu memberi pendapatan kepada keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Usahawan Mikro Kebajikan Berjaya bagi warga emas sempena Sambutan Hari Warga Emas.

Selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat, beliau mencuba beberapa bidang perniagaan termasuk membekalkan hasil pertanian kepada pasar raya dan kilang sebelum pulang ke kampung dan mengusahakan tanah seluas kira-kira satu ekar.

Beliau pada awalnya mengusahakan kolam kecil dengan kira-kira 800 benih ikan lampam Jawa, diperoleh daripada Jabatan Pertanian, namun kolam berkenaan dilanda banjir pada 2007 menyebabkan banyak ikan mati dan terlepas.

“Selepas itu saya baiki kolam menggunakan kudrat sendiri sebelum mendapatkan khidmat jentera untuk membina benteng. Kosnya kira-kira RM7,000 untuk tempoh tujuh hari dan semuanya menggunakan simpanan sendiri.

“Saya ulang usaha membaiki dan memperkukuh kolam sehingga tiga kali sebelum mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengusahakan tanaman sebagai pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata, hasil tanaman kemudian digunakan untuk menghidupkan semula kolam ikan, manakala kira-kira 80 pokok durian belanda yang diusahakannya sebelum ini musnah akibat banjir kira-kira dua tahun lalu.

Abdul Rahman kemudian beralih kepada tanaman ubi keledek yang dipasarkan secara pukal ke Serian dan Kuching, selain terus mengusahakan kolam ikan lampam Jawa yang kini menempatkan lebih 2,000 ekor ikan.

Katanya, hasil ternakan ikan kini mencecah lebih RM1,000 sebulan, manakala tanaman turut menjana pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

“Lebih RM30,000 daripada simpanan sendiri sudah saya gunakan untuk membina dan memperkukuh kolam ikan tanpa membuat pinjaman.

“Memang ada masa saya kecewa, tetapi kalau saya ikut perasaan itu, saya tidak akan sampai ke tahap ini. Selagi masih mampu bekerja, saya akan teruskan pertanian kerana masih nampak potensinya,” katanya.

Sementara itu, Fatimah Abdullah berkata, pemilihan Abdul Rahman bagi Anugerah Khas berkenaan mencerminkan keupayaan warga emas untuk kekal produktif dan menyumbang kepada keluarga.

Pengiktirafan itu selari dengan Dasar Warga Emas Negara yang menggalakkan penuaan sihat, produktif dan positif.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU