Ada yang masih degil! Pakai gelang kuarantin main sabung ayam

SIBU: Seorang suspek yang didapati memakai gelang pengawasan dan pemantauan di rumah (HSO) berwarna putih di tangan kirinya antara lima yang dicekup kerana terlibat dalam judi sabung ayam di Sibu Jaya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku di kawasan lapang di Lorong 22C, Sibu Jaya.

Menurut beliau, pada kejadian yang berlaku pada jam 3.30 petang itu, Ketua Balai Polis Sibu Jaya Inspektor Rodua Tayo bersama anggotanya telah membuat serbuan dan berjaya menahan seramai lima lelaki tempatan berserta rampasan kerana menjalankan aktiviti judi sabung ayam.

“Semasa tangkapan dibuat seorang daripada mereka didapati memakai gelang HSO berwarna putih di tangan kirinya.

“Suspek yang bergelang HSO itu baharu sahaja menjalankan ujian saringan calitan COVID-19 pada jam 8 pagi hari yang sama di Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan didapati keluar dari rumahnya pada jam 12.30 tengahari untuk menyabung ayam sebelum ditahan pihak polis,” tegasnha sebentar tadi.

PADAH…Suspek yang ditahan ketika berjudi sabung ayam di Sibu Jaya.

Stanley berkata, ketika serbuan kesemua suspek bertempiaran melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

Lima daripada mereka, jelasnya, telah berjaya dikejar dan ditahan.

Turut dirampas ayam sabung dan peralatan yang digunakan untuk tujuan judi sabung ayam, kata beliau.

“Kesemua suspek juga didapati telah melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sehingga 14 Februari bagi daerah Sibu iaitu melakukan apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakkan fizikal dan pematuhan kepada mana-mana arahan Ketua Pengarah Kesihatan, dengan bermain judi sabung ayam,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, kesemua suspek juga didapati telah melanggar syarat PKP.

Menurutnya, semua suspek akan direman hari ini (Isnin) untuk siasatan lanjut dan akan dikeluarkan kompaun kerana telah melanggar syarat PKP.

“Kes akan siasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Seksyen 3(1),”katanya.