KEMATIAN ialah satu realiti yang pasti dilalui oleh setiap insan.
Namun, bagi umat Islam, hubungan dengan seseorang tidak berakhir pada saat jasadnya kaku.
Islam mengajar bahawa hak kita sebagai Muslim terhadap saudara seagamanya yang meninggal dunia lebih daripada itu.
Islam mengajarkan bahawa adab terhadap orang yang meninggal merupakan sebahagian daripada penghormatan, kasih sayang dan tanda iman kepada Allah SWT.
Adab ini bukan sahaja menjaga hak si mati, tetapi juga mendidik hati orang yang hidup agar lebih lembut, sabar dan sedar bahawa dunia hanyalah persinggahan.
Namun, kita lihat terdapat sebahagian pihak yang seolaholah mempersenda orang yang meninggal dunia, terutama saudara seagama sendiri.
Sedangkan kita ketahui bahawa mengumpat merupakan satu dosa, apatah lagi sekiranya sesuatu perkara itu tidak pasti kebenarannya, sekali gus menjadi fi tnah.
MENUTUP AIB DAN MENYEBUT KEBAIKANNYA
Islam mengajar umatnya banyak perkara, terutama mengenai adab terhadap manusia, sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Antara perkara yang diajar oleh Islam ialah menutup aib si mati dan menyebut kebaikannya, kerana kita tidak ada kepastian sama ada kesalahan yang dilakukan benar atau tidak, dan jika benar, kita tidak tahu sama ada beliau bertaubat kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu mencela orang yang sudah meninggal, kerana mereka pergi menghadapi apa-apa yang mereka kerjakan.”
(Hadis riwayat Bukhari) Adab ini melatih umat Islam untuk menjaga maruah saudara seagama walaupun setelah mereka tiada.
Jika semasa hidup kita diwajibkan menjaga kehormatan seseorang, maka lebih-lebih lagi setelah mereka tidak mampu mempertahankan dirinya, iaitu setelah meninggal dunia.
SEGERA URUSAN JENAZAH DAN MENGIRINGINYA
Islam menggalakkan agar urusan jenazah disegerakan tanpa menangguhkannya tanpa keperluan.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila matinya salah seorang daripada kamu, maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya), dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Penyegeraan ini adalah tanda penghormatan kepada si mati, menjaga kondisi tubuhnya dan mengelakkan fi tnah atau salah faham dalam masyarakat.
Namun, sering kali kita melihat ahli keluarga yang tidak memahami agama menyebabkan urusan jenazah diperlambatkan atas sebabsebab remeh.
Termasuklah dalam bab mengiringi jenazah sehingga ke kubur, yang merupakan amalan mulia dengan pahala besar kerana ia termasuk sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW ketika menziarahi kematian.
Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat.
Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat.”
Ditanyakan kepada Baginda SAW: “Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat?” Baginda SAW menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
MENDOAKAN DAN MEMOHON KEAMPUNAN
Doa yang baik adalah hadiah paling berharga kepada seseorang yang meninggal dunia.
Ia merupakan antara amalan yang terus sampai kepada mereka, walaupun mereka sudah tidak mampu lagi beramal.
Terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang doa mohon keampunan bagi si mati.
Antara doa yang sering dibaca oleh Baginda SAW kepada para sahabat ketika menghadapi kematian ialah, sabda Nabi Muhammad SAW: ”Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada dalam kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil dalam kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki dalam kalangan kami dan yang perempuan.
“Ya Allah, orang yang Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam, dan orang yang Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman.
Ya Allah, janganlah Engkau halang kami daripada pahalanya, dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)



