KUCHING: Kewujudan Pusat Konvensyen Jepak (JKC) dijangka mampu meningkatkan landskap pembangunan pelaburan asing dalam industri minyak dan gas.
Adun Jepak Iskandar Turkee berkata, pusat tersebut amat diperlukan untuk pelaksanaan program berbentuk seminar dan konvensyen bertaraf antarabangsa di Bintulu.
“Kita sedia maklum dengan kepesatan industri minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain di Bintulu, maka sudah pasti para pelabur iaitu Pelabur Asing Langsung (Foreign Direct Investor) akan menganjur seminar, konvesyen , kursus dan lain-lain yang bertaraf antarabangsa atau dunia di Bintulu.
“Kewujudan JCC ini akan melengkapkan keperluan di atas dan secara tak langsung mempromosi Sarawak diperingkat antarabangsa, serta menjana ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Justeru, beliau memohon agar pusat terbabit dapat dibina, selari dengan perubahan landskap di Jepak susulan siapnya Jambatan Bintulu-Jepak pada tahun hadapan.
Sementara itu, beliau menyeru agar pusat tumpuan ramai iaitu pantai Jepak yang menghadap Laut Cina Selatan dapat dinaik taraf dengan Taman Rekreasi Pantai Jepak.
Tegasnya, lokasi terbabit berpotensi menjadi tumpuan utama para pengunjung selain menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk beriadah dan berekrasi.

