KUCHING: Jaguh muda yang semakin digeruni kredibilitinya, Nur Adawiyah Mohd. Nazri, 12, berada pada landasan terbaik untuk mencetak sejarah dalam sukan tempur jarak dekat apabila terpilih mewakili negara pada Kejohanan Muaythai Dunia IFMA 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula dari 16 hingga 21 Jun ini.
Bintang sensasi yang bernaung di bawah Kelab Muaythai Kenyalang itu akan bersaing dalam kategori amatur wanita (32kg).
“Cukup teruja apabila terpilih mewakili negara dalam kejohanan bertaraf dunia ini.
“Saya berazam untuk cuba menampilkan aksi terbaik pada saingan sebenar nanti,” ujar Adawiyah kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, tekanan agak mencabar menanti dirinya pada kejohanan berprestij itu kelak.
Ia mengambil kira saingan selama enam hari itu yang turut disertai jaguh dari pelbagai negara serta wakil kelab handalan yang lain.
Anak jati kelahiran Kampung Tabuan Hilir, Kuching ini sudah siap sedia untuk menghadapi gelora sebenar kejohanan berkenaan.
Nur Adawiyah yang juga murid dari SK Tabuan, Kuching terpilih mewakili negara berdasarkan rekod cemerlang beliau semasa menyertai beberapa kejohanan tempatan sebelum ini.
Untuk rekod, Nur Adawiyah pernah meraih pingat emas Kejohanan Muaythai Piala TYT 2026 kategori solo amatur wanita, selain turut berjaya memenangi pingat emas kategori berpasukan (5X5) kejohanan sama.
Adawiyah juga memenangi pingat emas dan perak Kejohanan Muaythai NAO Samarahan 2026 dalam kategori kegemarannya itu.

