KUCHING: Para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli kabinet Sarawak hadir menjalani ujian calitan Covid-19 yang diadakan di Kompleks Dun, Petra Jaya hari ini.
Ujian yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bermula seawal jam 8 pagi, yang menyaksikan ramai Adun dan ahli kabinet hadir menjalaninya secara pandu lalu.
Rata-rata mereka yang ditemui menyokong dan menyambut baik usaha tersebut serta berharap persidangan yang bermula Isnin nanti akan berjalan dengan lancar.
Antara yang hadir ialah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Utiliti Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil dan Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu.
Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar semalam berkata semua Adun dan ahli kabinet diwajibkan menjalani ujian calitan yang dijalankan hari ini dan esok.
Katanya ini sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak tersebut sempena persidangan Dun Sarawak yang akan berlangsung lima hari bermula 9 hingga 13 November ini.
Ujian calitan ini diadakan sehingga sekitar jam 5 petang nanti dan akan bersambung esok hari bermula jam 8 pagi.

