KUCHING: Jalan raya yang menjadi nadi pembangunan penduduk pedalaman perlu diberi perhatian khusus termasuk dari sudut keperluan menaik taraf jalan balak, menambah kemudahan asas serta memastikan akses yang lebih selamat.
ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, langkah ini penting memandangkan sosioekonomi Bahagian Kapit menunjukkan pertumbuhan ketara, sekali gus dapat merapatkan jurang pembangunan dengan kawasan pesisir.
“Walaupun sebahagian besar penduduk Kapit masih bergantung kepada jalan balak sebagai laluan utama, kewujudan laluan tersebut tetap membantu mengurangkan kos pengangkutan dan menjimatkan masa perjalanan.
“Keperluan menaik taraf dan mewartakan laluan tersebut sebagai jalan awam semakin mendesak,” katanya ketika membahaskan membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengambil alih jalan balak sebagai jalan awam bagi membolehkan penyelenggaraan berkala dilaksanakan secara lebih sistematik demi keselamatan pengguna.
“Dicadangkan pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko serta di simpang utama bagi meningkatkan keselamatan terutama pada waktu malam.
“Kerajaan juga diharap mempertimbangkan pembinaan jambatan Bailey di lokasi yang kerap terputus hubungan, khususnya pada musim hujan dan banjir bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan asas dan sokongan kecemasan,” katanya lagi.
Tambahnya, penduduk di lima buah ruamnh panjang & SK Mujong Tengah juga memerlukan akses jalan raya sempurna untuk memudahkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan penghantaran bekalan asas, terutama ketika cuaca buruk.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan menilai semula perancangan atau kajian awal pembinaan jalan raya yang menghubungkan lima rumah panjang dan SK Mujong Tengah di kawasan sebelah kiri tebing Sungai Mujong.
Beliau juga mencadangkan penubuhan stesen pemantauan kualiti air berhampiran projek empangan hidroelektrik bagi memastikan sumber bekalan air sentiasa berada pada tahap selamat serta tidak menjejaskan kesihatan penduduk.
“Bagi memenuhi keperluan elektrik masa kini, dicadangkan juga menaik taraf bekalan elektrik di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) daripada 3kWh kepada 5kWh bagi setiap isi rumah untuk menampung keperluan penduduk,” ujarnya.
Tamat//

