SIMANGGANG: ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor akan menanggung bayaran sewa rumah mangsa kebakaran di Kampung Tengah Sri Aman selama setahun.
Ia katanya sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas akibat kebakaran sehingga menyebabkan kehilangan tempat tinggal.
“Saya akan tanggung sepenuhnya bayaran sewa rumah mangsa selama setahun, enam bulan pertama dan enam bulan seterusnya demi memastikan kebajikan mereka terjaga sementara menunggu pembinaan semula rumah,” katanya.
Beliau terdahulu melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, seterusnya menyampaikan bantuan segera dan meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran.
Jelasnya, usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam memastikan rakyat yang diuji tidak terpinggir.
Lawatan itu turut melibatkan sesi libat urus bersama dengan agensi berkaitan bagi merangka pelan pemulihan jangka panjang.
Selain, mengenal pasti bentuk sokongan tambahan yang diperlukan oleh mangsa.
Penduduk terjejas menzahirkan penghargaan atas keprihatinan serta tindakan pantas yang diambil oleh Dayang dalam membantu mereka menghadapi musibah ini.


