KUCHING: Penjelasan kaedah penggantian cuti umum yang bertembung penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, selain membolehkan urusan pekerjaan, perniagaan dan perancangan keluarga disusun dengan lebih teratur.
ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, cadangan pindaan ke atas ordinan cuti umum tersebut merupakan usaha memperkemas perundangan sedia ada agar pelaksanaan cuti gantian lebih teratur dan hak pekerja terus terpelihara.
“Pindaan Seksyen 3 bertujuan memperincikan aturan pemberian cuti gantian apabila cuti umum jatuh pada Ahad, sedangkan hari Isnin berikutnya turut ditetapkan sebagai cuti umum, dengan hari selepasnya berpotensi diisytiharkan sebagai cuti gantian mengikut peruntukan baharu dan ketetapan Yang di-Pertua Negeri.
“Penjelasan perundangan itu dapat menghindari pertikaian kelayakan cuti, selain membantu majikan mengurus jadual pekerja serta memastikan pelaksanaan operasi organisasi tidak terjejas akibat ketidakpastian tarikh cuti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau menambah, penyelarasan cuti yang lebih jelas turut memudahkan perancangan institusi pendidikan, jabatan kerajaan dan pemain industri seperti pelancongan, perhotelan, peruncitan serta pengangkutan yang perlu mengatur jadual perkhidmatan lebih awal.
Wilson berkata, perkara itu amat bermakna kepada masyarakat di kawasan luar bandar, khususnya penduduk Pelagus di Kapit, yang perlu melalui perjalanan jauh menggunakan jalan darat dan sungai untuk pulang ke rumah panjang serta berkumpul bersama-sama keluarga sempena musim perayaan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan pindaan berkenaan bergantung pada penyampaian maklumat yang tepat dan mudah difahami, sekali gus memastikan rakyat, majikan serta agensi berkaitan mengetahui tanggungjawab masing-masing dan memperoleh manfaat daripada penambahbaikan undang-undang itu.

