BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, mengambil inisiatif membuka kaunter bantuan permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi membantu mangsa banjir di kawasan ini.
Kaunter yang beroperasi di Pusat Khidmat ADUN N68 Tanjong Batu (atas Kedai Makan Kawan Lama) ini akan dibuka selama enam hari, bermula dari 3 hingga 8 Februari ini (Isnin hingga Sabtu) dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 2 hingga 4 petang.
Menurut Johnny, kaunter ini diwujudkan bagi memastikan mangsa banjir dapat menerima panduan serta bantuan lengkap untuk memudahkan proses permohonan BWI mereka.
“Kami komited untuk memastikan tiada mangsa banjir yang terpinggir daripada mendapatkan bantuan yang sepatutnya.
“Pasukan saya sedia memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut menyeru mangsa banjir yang memerlukan bantuan untuk hadir ke kaunter tersebut bagi mendapatkan bimbingan dan maklumat lanjut.


