BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, hari ini mengadakan lawatan ke Hospital Bintulu bagi menyantuni petugas kesihatan serta meninjau keperluan dan cabaran operasi hospital berkenaan.
Lawatan disertai ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu itu turut mengagihkan sumbangan buah kurma dan limau mandarin kepada petugas kesihatan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan ketibaan bulan Ramadan.
Menurut Johnny Pang, hospital merupakan antara institusi terpenting dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, justeru aspek kecekapan operasi serta kebajikan petugas kesihatan perlu diberi perhatian.
“Petugas kesihatan adalah barisan hadapan yang memikul amanah besar dalam menjaga kesihatan rakyat.
“Selain kemudahan fizikal, aspek sistem, sumber manusia dan sokongan pentadbiran juga perlu diperkasakan agar perkhidmatan dapat disampaikan secara berkesan,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap, profesionalisme dan kecekapan penjawat awam memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Oleh itu, lawatan bersempena musim perayaan menjadi platform terbaik untuk mendengar secara langsung pandangan serta cabaran yang dihadapi petugas di peringkat pelaksana.
“Dalam banyak keadaan, kekangan yang dihadapi bukan berpunca daripada petugas barisan hadapan, sebaliknya melibatkan sistem dan kemudahan sokongan yang perlu ditambah baik,” ujarnya.
Menurutnya, segala maklum balas diperolehi sepanjang lawatan tersebut akan dibawa untuk perhatian pihak berkaitan.
Sehubungan itu, Johnny Pang menegaskan bahawa komunikasi dua hala wakil rakyat dan agensi pelaksana penting bagi memastikan dasar serta perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Beliau berharap semua penjawat awam, khususnya petugas kesihatan akan terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan berterusan di Bintulu.


