BINTULU: Generasi muda diseru untuk terus menghargai dan memelihara seni tulisan tangan serta kaligrafi yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya bangsa, meskipun dunia kini semakin bergantung kepada teknologi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, walaupun kemajuan teknologi telah mengubah cara manusia berkomunikasi, namun seni tulisan tangan tetap memiliki nilai jiwa, emosi dan kehalusan budaya yang tidak dapat digantikan oleh papan kekunci.

Menurutnya, walaupun masyarakat kini banyak berurusan menggunakan komputer dan telefon pintar, kegiatan seperti pertandingan tulisan tangan dan kaligrafi tetap wajar diteruskan bagi membentuk keperibadian serta memperkukuh nilai kesabaran dan ketelitian dalam diri anak muda.
“Setiap goresan dakwat dan sapuan berus melatih kita untuk fokus dan berdisiplin. Menulis bukan sekadar membentuk huruf, tetapi membina watak dan jiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Kaligrafi Cina Bintulu 2025 yang diadakan di Boulevard Shopping Mall, di sini pada Sabtu.

Aktiviti itu dianjurkan bersama Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bahagian Bintulu dan Pertubuhan Kaligrafi Cina Bahagian Bintulu yang terbahagi kepada kategori pelajar sekolah rendah, menengah serta kategori terbuka bersempena Pameran dan Jualan Sin Chew Daily Bintulu 2025.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur, para penilai serta peserta yang telah menjayakan program berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai wadah penting dalam memupuk minat terhadap seni tulisan serta memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Bintulu.
“Seni kaligrafi bukan hanya milik satu kaum, tetapi milik bersama semua yang mencintai keindahan bahasa dan budaya. Saya berharap aktiviti seperti ini akan terus disokong dan diperluas,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng; pengerusi FORCA Bahagian Bintulu, Datuk Kong Kung Kuong; pengerusi Pertubuhan Kaligrafi Cina Bahagian Bintulu, Kiong Tze Seng serta pengerusi jawatankuasa penganjur, Fan Fatt Cheng.




