BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, menzahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan infrastruktur di Pasar Tamu Bintulu selepas mendapati beberapa penutup longkang rosak dan tidak sempurna semasa tinjauan semalam (Khamis).
Tinjauan itu dilakukan beliau sementara menunggu ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, melawat pasar berkenaan dalam rangka lawatan rasmi ke Bintulu sempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi pada Jumaat ini.

Menurut Johnny Pang, keadaan penutup longkang yang pecah dan tidak sepadan saiz berisiko tinggi membahayakan keselamatan pengunjung, terutamanya warga emas dan kanak-kanak.
“Saya amat bimbang dengan keadaan ini. Jika tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan kecederaan kepada orang awam. Keselamatan pengunjung mesti menjadi keutamaan,” katanya tegas.

Beliau turut memanggil pegawai bertugas di lokasi untuk mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan yang dikenal pasti.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan dan semua agensi berkaitan perlu lebih peka dan proaktif dalam memantau kemudahan awam, khususnya di kawasan tumpuan ramai seperti pasar.
“Kita mahu Pasar Tamu ini terus menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua, bukan sahaja kepada penduduk tempatan, tetapi juga pelancong yang datang ke Bintulu,” ujar beliau lagi.
Tegasnya lagi, aspek keselamatan infrastruktur tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi di lokasi yang menjadi nadi ekonomi masyarakat setempat.

