BINTULU: ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming turun padang meninjau beberapa kawasan berisiko banjir di sekitar Bintulu susulan hujan lebat berterusan yang melanda sejak awal pagi, hari ini.
Tinjauan tersebut dilakukan bagi memastikan keadaan semasa di kawasan terjejas berada dalam keadaan terkawal serta menilai sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Menurut Johnny Pang, beliau segera menggerakkan pasukannya selepas menerima laporan cuaca buruk selain berhubung dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan maklumat terkini paras air dan situasi di lapangan.
“Hasil pemantauan mendapati beberapa kawasan mengalami takungan air sementara akibat hujan lebat, namun keadaan masih terkawal dan air mula surut apabila cuaca beransur baik,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata tindakan pemantauan awal amat penting bagi membolehkan sebarang risiko dikenal pasti dengan segera, sekali gus memudahkan penyelarasan bantuan atau langkah susulan sekiranya keadaan menjadi lebih serius.
Menurutnya, walaupun kejadian kali ini tidak menyebabkan gangguan besar kepada penduduk, isu banjir kilat di kawasan berisiko perlu terus diberi perhatian memandangkan perubahan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani masalah banjir tidak boleh bergantung kepada tindakan ketika kecemasan semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang termasuk penambahbaikan sistem perparitan dan saliran.



