BINTULU: Kejadian tanah runtuh di Jalan Sebaru mendapat perhatian segera apabila ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bersama-sama pasukan serta pegawai daripada Bahagian Kejuruteraan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turun padang meninjau lokasi berkenaan, semalam.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kerosakan serta mengenal pasti langkah segera yang perlu diambil bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Kawasan tersebut dilaporkan terjejas akibat cerun curam dan hujan berterusan sejak kebelakangan ini, menyebabkan sebahagian tebing runtuh dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Johnny Pang berkata, beliau meminta pihak BDA supaya mempercepat proses tender dan pelaksanaan kerja pembaikan, agar projek baik pulih dapat disiapkan sebelum musim hujan bermula.
“Langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian lebih serius. Keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan dan saya mahu kerja-kerja pemulihan disiapkan secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kawasan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejadian tanah runtuh bukan sekadar bencana alam, tetapi peringatan tentang pentingnya tindakan pencegahan dan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.
Johnny Pang turut memberi jaminan bahawa beliau akan terus memantau perkembangan kerja-kerja pembaikan di lokasi tersebut.

