KUCHING: Sarawak AeroBig Day 2026 bakal kembali dengan penuh semangat tahun ini dengan visi yang lebih besar dalam menyatukan komuniti di seluruh Sarawak melalui kecergasan, amal dan semangat kebersamaan.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS), Lamat Nyalau berkata, program berkenaan dianjurkan oleh Bantu Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia serta disokong oleh Life Event Borneo sebagai rakan acara dan Pay & Go sebagai platform pendaftaran tempatan.
Katanya, usaha itu sekali gus mengukuhkan kedudukan acara berkenaan sebagai salah satu inisiatif aerobik komuniti dan amal berskala besar yang paling berimpak di rantau ini.
“Berdasarkan kejayaan penganjuran edisi terdahulu, AeroBig Day telah berjaya menarik ribuan peserta serta mengumpul dana bermakna untuk Projek Noah’s Ark, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap inisiatif yang menggabungkan kecergasan dengan tujuan yang lebih besar,” ujar Lamat pada sidang media di salah sebuah restoran terkemuka di bandar ini, sebentar tadi.
Katanya, menjelang tahun 2026, Sarawak AeroBig Day menyasarkan untuk memperluaskan lagi jangkauannya, memperkukuh penglibatan komuniti serta memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada gerakan positif tersebut.
“Penganjuran tahun ini sedikit berbeza apabila bakal menjelajah lima lokasi melibatkan Miri (27 September/MCC Carpark), Bintulu (4 Oktober/Dewan Suarah Bintulu), Sibu (11 Oktober 2026/Dataran Tun Tuanku Bujang), Sri Aman (18 Oktober/Simanggang Waterfront) dan Kuching (25 Oktober/Pustaka Negeri Sarawak),” tambah beliau.
Katanya, setiap lokasi dijangka menarik kira-kira 1,000 peserta dengan sasaran keseluruhan seramai 5,000 peserta di semua lokasi.
“Ia diharap dapat membentuk satu gerakan kecergasan dan amal berskala besar di seluruh negeri,” katanya.
Beberapa kategori turut disenaraikan untuk program berkenaan iaitu kategori A, B dan C.
“Pendaftaran sudah mula dibuka dan tarikh tutup berbeza mengikut lokasi terbabit,” jelasnya.
Sebagai inisiatif penyertaan komuniti selaras dengan misi membina gerakan yang inklusif dan berteraskan komuniti, Sarawak AeroBig Day 2026 memperkenalkan AeroBig Pay-It-Forward Pass.
Melalui inisiatif itu, orang awam boleh membuat prapembelian pendaftaran kategori A melalui platform Pay & Go. Tajaan tersebut kemudiannya akan diagihkan kepada individu yang ingin menyertai program tetapi mempunyai kekangan kewangan.
Program itu memastikan Sarawak AeroBig Day kekal terbuka kepada semua, sekali gus membolehkan penyertaan lebih meluas khususnya dalam kalangan belia dan komuniti kurang berkemampuan untuk menikmati pengalaman kecergasan dan amal yang bermakna.
Dengan memberi peluang kepada peserta untuk menaja orang lain, inisiatif itu mengukuhkan semangat “Jom Amal, Jom Aerobik!”, di mana amalan kemurahan hati dapat memperluaskan capaian serta impak acara tersebut.
Sarawak AeroBig Day 2026 menjemput orang ramai untuk bersama-sama menyertai inisiatif ini bagi berhubung, menyumbang dan melangkah ke hadapan sebagai satu komuniti.



