PENYANYI terkenal Indonesia, Afgan, kembali mencuri perhatian apabila bersiap melancarkan album ketujuhnya selepas tujuh tahun menyepi.
Album terbaharu yang diberi judul Retrospektif ini menjadi penanda penting dalam perjalanan kerjaya muzik dan perkembangan peribadinya.
Pelancarannya dijadualkan pada hari ini. Dalam acara fi rst hearing yang berlangsung di Ratu Plaza, Jakarta, baru-baru ini, Afgan berkongsi bahawa album ini membawanya kembali kepada akar muzik yang pernah membentuk dirinya.
“Selepas bertahuntahun bereksperimen, saya mahu kembali kepada asas yang menumbuhkan saya, tetapi dengan hati yang lebih matang, jujur dan bersedia berkongsi cerita,” katanya.
Afgan turut mendedahkan bahawa proses pembikinan album tersebut hanya mengambil masa dua minggu, namun tetap berkualiti kerana melibatkan barisan pemuzik dan gitaris hebat seperti Petra Sihombing, Muhammad Kamga, Iqbal Siregar, Bilal Indrajaya dan Rendy Pandugo selaku penerbit bersama.
Menurutnya, album Retrospektif menampilkan bunyi yang lebih maskulin berbanding karya-karya sebelumnya.
“Saya boleh katakan album ini mempunyai bunyi yang lebih maskulin,” ujarnya.
Album tersebut turut menampilkan lagu pembuka bertajuk Kacamata, yang dianggap simbolik kerana Afgan kini kembali mengenakan kacamata, gaya yang dirindui para peminat.
“Di album ini saya kembali berkaca mata untuk semua peminat yang mungkin sudah rindu,” katanya berseloroh.
Afgan percaya inilah masa yang sesuai untuk kembali kepada muzik asalnya, terutama selepas peminat lama menantikan album penuh dalam bahasa Indonesia.
“Selepas tujuh tahun, saya rasa sudah cukup.
Ini masanya saya kembali,” tambahnya.



