TATAU: Semua agensi berkaitan di daerah ini digesa meningkatkan tahap kesiapsiagaan masing-masing menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka membawa risiko banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan.
Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang, berkata penyelarasan rapi agensi amat penting bagi memastikan tindakan responsif dan berkesan sekiranya bencana berlaku.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau bagi membincangkan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau, semalam.
Menurut beliau, aspek kelengkapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), aset logistik seperti bot dan kenderaan operasi serta pemutakhiran senarai pegawai fokus (focal person) setiap agensi perlu diberi perhatian segera bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama padu semasa bencana banjir pada Februari lalu.
Mesyuarat itu turut mendengar taklimat daripada Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkaitan kawasan-kawasan yang dikenal pasti kerap dilanda banjir dan tanah runtuh.
Dalam taklimat ringkasnya, DSP James Reis berkata, sebanyak 72 rumah panjang, dua kampung, sembilan sekolah dan tiga klinik dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang memerlukan pemantauan rapi.
DSP Jame menegaskan pentingnya tindakan proaktif demi memastikan keselamatan penduduk.

