MIRI: Agensi kerajaan dan pihak pemaju perumahan disarankan untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di sini, khususnya semasa musim tengkujuh.
ADUN Senadin Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau telah memberi arahan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi mencari jalan penyelesaian bagi masalah banjir dalam masa terdekat.
“Saya mahu masalah ini diselesaikan sementara menghadapi musim landas.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar semua agensi memberi keutamaan untuk mengambil langkah pencegahan kepada masalah banjir ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tempat yang terjejas di Jalan Cahaya 1B, Taman Lopeng Baru di sini semalam.
Di samping, beliau turut memohon agar pihak pemaju perumahan memainkan peranan dalam usaha mengelak masalah banjir daripada berlaku di kawasan pembangunan mereka.
“Semua pemaju perumahan perlu memastikan sistem saliran keluar air dalam keadaan baik agar tidak menjadi punca banjir di kawasan tersebut, dan pihak MBM juga perlu memainkan peranan dengan meletakkannya sebagai syarat apabila mereka meluluskan sesebuah pelan pembangunan,” katanya.
Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan permohonan untuk melebarkan jalan Cahaya Utama kepada jalan raya berkembar dua hala.
Jelasnya, ia bertujuan bagi meredakan kesesakan yang sering berlaku di kawasan sekitar Hospital Miri, Lopeng dan Padang Kerbau.
Ahli MBM Kaunselor Jeffery Phang Siaw Foong, Kaunselor Abdullah Jaini dan Kapitan Chong Kee Hua turut hadir.


