BAU: Kerajaan Sarawak mengagihkan sebanyak 174 buah tong air kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu bagi membantu masyarakat luar bandar mengatasi isu bekalan air yang berpanjangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, berkata langkah proaktif ini adalah usaha untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
Katanya, pengagihan tong air ini juga merupakan penyelesaian jangka pendek terhadap masalah air di kawasan ini.
“Sumbangan ini bertujuan menangani cabaran bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk kampung, khususnya di kawasan luar bandar. Diharapkan tong air ini menjadi aset penting dalam setiap rumah, terutama ketika berdepan musim kemarau atau gangguan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Simbolik Penyerahan Tangki Air Kerajaan Sarawak di Kampung Kopit, di sini, semalam.
Miro turut memberitahu bahawa inisiatif ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat luar bandar turut menerima manfaat pembangunan, sejajar dengan agenda Sarawak Maju 2030.
Inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada kehidupan harian penduduk kampung, khususnya dari aspek kebersihan, kesihatan, dan pengurusan air domestik.
Pengagihan ini melibatkan penduduk dari lapan buah kampung, termasuk Kampung Kopit, Kampung Ledan, Kampung Merembeh, Kampung Padang Pan, Kampung Peninjau Lama, Kampung Seropak, Kampung Tringgus Matan, dan Rabak.

