KUCHING: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Suhordie Abang Zaini, 55 sedia untuk mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini bagi pemilihan Exco FAS baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAS 2025/2027 yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini.
Menurut Abang Suhordie, tiada desakan mana-mana pihak terhadap beliau untuk bertanding sekali gus mengekalkan jawatan tersebut bagi penggal yang akan datang.
Sebaliknya, ia merupakan keinginan beliau sendiri dalam usaha meneruskan khidmat dalam FAS pada masa akan datang.
“Saya sedia untuk mempertahankan jawatan ini (Timbalan Presiden FAS) pada mesyuarat itu kelak.
“Walaupun belum diketahui situasi sebenar, sama ada ada calon lain yang turut bertanding atau tidak,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) itu, beliau memandang pada sudut positif andai kata ada perebutan bagi jawatan kedua tertinggi dalam badan induk berkenaan.
“Saya mengambil sudut positif pada mesyuarat itu kelak. Bertanding dalam suasana harmoni,” tambah Abang Suhordie.
Dalam perkembangan yang sama, Abang Suhordie memberitahu, beliau akan menghantar borang pencalonan untuk jawatan tersebut esok (Khamis).
“Esok saya akan menyerahkan borang pencalonan tersebut, dan mungkin akan dapat diketahui siapa calon lain yang akan bertanding,” katanya.



