ARTIKEL

Ah Long Ganas UBAH HIDUP IBU TUNGGAL JADI NERAKA! Ugut CULIK, Jual Ke KEMBOJA Kerana Hutang Bekas Suami!

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Luluh hati seorang ibu tunggal apabila dua anak kecilnya turut dijadikan sasaran ugutan Ah Long, sekali gus menyebabkan dirinya hidup dalam ketakutan.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, ibu berusia 26 tahun itu tampil membuat aduan selepas menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.

“Pelaku pada awalnya menghantar gambar bekas suami mangsa bersama kad pengenalan, sebelum menuntut RM500 dan mendakwa mangsa bertanggungjawab hanya kerana kedua-dua nombor telefonnya digunakan sebagai nombor kecemasan oleh bekas suami.

“Dalam mesej balas, mangsa menjelaskan mereka telah berpisah hampir tujuh tahun, namun lelaki itu tetap mendesak dan menghubunginya melalui panggilan WhatsApp,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi panggilan tersebut, pelaku mengugut akan menculik mangsa serta dua anaknya. Dia turut mendakwa mempunyai gambar mereka dan mengetahui lokasi tempat tinggal mereka.

“Pelaku turut mengaku sebagai ketua Ah Long dan seorang gangster, serta memberi amaran kononnya hanya perlu tiga jam untuk sampai ke rumah mangsa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, ugutan semakin serius apabila pelaku mendakwa akan ‘menjual mangsa ke Kemboja’, selain menghantar video pembakaran rumah sebagai amaran. Dia kemudian mengarahkannya bersedia di rumah selama 24 jam.

“Selepas menerima video itu sekitar 1.40 tengah hari Sabtu, mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa pada jam 3.20 petang. Mangsa menyatakan dirinya mahu hidup aman serta berharap gangguan tersebut dihentikan segera,” ujarnya.

Ujarnya, mangsa yang tidak mempunyai kenderaan kini trauma dan bimbang keselamatan diri serta anak-anak, terutama kerana anak-anak bergantung kepada bas sekolah setiap hari.

Tegasnya, dalam undang-undang, hanya peminjam bertanggungjawab membayar hutang, bukan pasangan, bekas pasangan, atau ahli keluarga. Tindakan mengugut keluarga peminjam adalah salah.

SIDANG MEDIA..Milton menunjukkan video pembakaran rumah yang dihantar pelaku kepada mangsa.

“Saya ingin jelaskan dengan tegas bahawa Ah Long tidak berhak menuntut daripada sesiapa selain peminjam. Mangsa perlu membuat laporan polis dan tidak menyerahkan sebarang bayaran.

“Sekiranya seseorang meminjam wang sama ada daripada Ah Long, pemberi pinjam wang berlesen atau bank, proses yang betul untuk menuntut semula hutang adalah melalui saluran undang-undang, termasuk mengeluarkan notis tuntutan dan memfailkan saman di mahkamah,” tambahnya.

Jelasnya, kes seumpama itu mencerminkan trend semakin membimbangkan, termasuk ancaman membakar rumah, menculik ahli keluarga dan menyebarkan gambar di media sosial. Beliau menyatakan ancaman ini boleh juga melibatkan scammer yang menyamar sebagai Ah Long.

“Dalam kes ini, mangsa benar-benar tidak bersalah. Dia tidak membuat sebarang pinjaman. Bekas suaminya menggunakan nombor telefon mangsa sebagai nombor hubungan kecemasan, sebab itu Ah Long tersebut menyasarkannya.

“Saya menasihati sesiapa yang menerima ancaman sedemikian supaya tidak takut dan segera membuat laporan polis serta mendapatkan bantuan bagi melindungi diri,” ujarnya.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU