ARTIKEL

Ahli Geng 24 Hung Hung didakwa miliki senjata api, 120 peluru tanpa permit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang ahli tertinggi kongsi gelap ‘Geng 24 Hung Hung’ dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini, atas tujuh pertuduhan memiliki sepucuk senapang patah automatik dan 120 butir peluru tanpa permit yang sah di kediamannya di Taman Daya, April lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) kerana memiliki sepucuk senjata api iaitu senapang patah automatik jenama Stoeger berwarna hitam tanpa permit dan lesen sah.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh oleh Hakim Mahkamah Sesyen Musyida Abdul Halim, selain menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 6 Ogos depan.

Manakala, enam lagi pertuduhan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) atas kesalahan memiliki 120 butir peluru pelbagai jenis tanpa permit sah.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah rumah di Taman Daya, Lorong Durian Burung, sekitar 2.30 pagi, 15 April lalu.

Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menawarkan jaminan RM9,000 beserta dua penjamin tempatan bagi kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Nursyaheeqa menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 23 Julai depan.

Manakala, Majistret Ling Hui Chuan turut menawarkan jaminan RM9,000 beserta dua penjamin tempatan bagi kesemua tiga pertuduhan terhadap tertuduh.

Hui Chuan menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 6 Ogos depan.

Meskipun, jaminan ditawarkan kepada tertuduh, tahanan reman tetap terus dijalankan sehingga kes selesai, memandangkan tertuduh sebelum ini turut didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia antara individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam satu operasi khas ‘Op Pusak Merah’ pada 19 sehingga 23 April lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Marvind Kaliyani, DPP Muhammad Aidil Akmal Sharidan dan DPP Muhammad Afiq Safly Nor Kazly.

Manakala, tertuduh diwakili Peguam Daniel Ling, dan Vanessa Yii.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU