KUCHING: Ahli Kelab Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah harus menjadi individu yang peka dan prihatin terhadap rakan-rakan lain yang mungkin menghadapi masalah atau penderaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, mengakui berbesar hati melihat penglibatan aktif 275 kanak-kanak dari 26 sekolah dan institusi kebajikan yang menyertai Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak kali ini.
“Anda bukan sekadar datang untuk menerima maklumat, tetapi turut dilatih menjadi ejen perubahan.
“Sehubungan itu, jadilah individu yang peka dan prihatin terhadap rakan-rakan yang mungkin menghadapi masalah atau penderaan, tetapi mereka tidak tahu cara mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Bersama Kelab Pembimbing Rakan Sebaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, semalam.
Jelasnya, usah takut untuk melaporkan perkara yang salah kerana tindakan tersebut mungkin dapat menyelamatkan seseorang dan memberi harapan baharu dalam hidup rakan-rakan di sekeliling.
“Sebab anda semua adalah orang yang paling dipercayai oleh rakan-rakan lain yang dapat mendengar luahan hati mereka tanpa menghakimi mereka dahulu.
“Jadilah pendengar yang baik dan memberi nasihat atau bantuan yang sewajarnya kepada rakan-rakan yang memerlukan dorongan dan sokongan daripada anda.
“Insya-Allah, melalui pelaksanaan lebih banyak program advokasi perlindungan kanak-kanak, diharap lebih ramai kanak-kanak akan mendapat perlindungan sewajarnya, sama ada mereka bertindak sendiri atau masyarakat lebih cakna terhadap peranan mereka sebagai pelindung kanak-kanak,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu mengakui penderaan terhadap kanak-kanak sama ada secara fizikal, emosi atau seksual menjadi isu serius yang kian membimbangkan dan memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada semua pihak.
Justeru, katanya lagi, tanggungjawab melindungi mereka bukan terletak di bahu satu pihak sahaja, sebaliknya merupakan usaha kolektif pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, masyarakat, pemimpin tempatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kanak-kanak sendiri.
Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak telah dilaksanakan di 25 sekolah sejak tahun lepas di Sarawak dengan penyertaan 5,589 peserta.
Tahun ini, sebanyak empat program advokasi bersama Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Lundu, PAKK Desa Ilmu, PAKK Permyjaya dan PAKK Sri Aman berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 1,381 orang.
“Ia signifikan dalam usaha melahirkan remaja yang lebih celik akan hak dan tanggungjawab mereka, terutamanya dalam aspek keselamatan dan perlindungan daripada sebarang bentuk penderaan dan pengabaian.
“Melalui program seperti ini, remaja bukan sahaja mampu melindungi diri sendiri, malah turut menjadi penyokong kepada rakan sebaya yang memerlukan.
“Saya berharap semua peserta dapat meneruskan usaha memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang telah diperoleh supaya dapat disebarluaskan kepada rakan-rakan lain.
“Saya juga berharap program seperti ini dapat dilaksanakan ke bahagian lain supaya liputan perkongsian ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada kanak-kanak yang lain,” tambahnya.


