BINTULU: Prihatin dengan tragedi yang menimpa mangsa kebakaran di Kampung Sebuan Besar, Jepak, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bintulu telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa yang terjejas.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas II beliau, Steven Kong Kai Seng dengan disaksikan oleh Ketua Kaum Kampung Sebuan Besar, Sauni Sibi.
Turut disampaikan sumbangan pelbagai keperluan asas seperti beras, minyak masak, mi segera, air mineral, makanan dalam tin, sabun pencuci pakaian, tilam dan barangan harian lain yang disalurkan menerusi kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bintulu bersama Parti Demokratik Progresif (PDP) Tanjong Batu serta Persatuan Persahabatan Zhong Ho Bintulu.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dan memberi sedikit kelegaan kepada mangsa sementara menunggu bantuan lanjut daripada agensi berkaitan,” ujar Steven ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa yang terjejas di Balai Raya Kampung Jepak pada Rabu.
Dalam insiden kebakaran yang berlaku pada sekitar jam 2.30 petang semalam, sebanyak enam buah kediaman musnah dijilat api yang mengakibatkan seramai 26 orang penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Pada masa ini, kesemua mangsa menumpang sementara di kediaman keluarga mereka.



