ARTIKEL

Ahmad Johnie Zawawi

Ahmad Johnie Cadang Dana Khas PIBG Berdasarkan Lokasi, Akses dan Keperluan Sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jurang kemampuan kewangan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bandar dengan sekolah pedalaman perlu ditangani menerusi penyediaan dana khas tahunan bagi memastikan kekangan sumber tidak menjejaskan peluang pendidikan murid di luar bandar Sarawak.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, sekolah pedalaman bukan sahaja berdepan kekangan kewangan, malah terpaksa menanggung kos pengangkutan dan pelaksanaan program pendidikan yang lebih tinggi berbanding sekolah di bandar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan pemberian dana khas tahunan kepada PIBG berdasarkan lokasi, tahap kesukaran akses dan keperluan setiap sekolah.

“Langkah itu penting bagi membantu sekolah luar bandar menyediakan program pendidikan yang bersesuaian, sekali gus memastikan murid mendapat peluang pembelajaran yang lebih setara,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain isu pembiayaan pendidikan, Ahmad Johnie turut membangkitkan kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), khususnya berkaitan kadar elaun, status perkhidmatan dan jaminan kerjaya mereka di kawasan luar bandar serta pedalaman Sarawak.

Menurutnya, guru KAFA memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan sahsiah generasi muda, justeru kebajikan serta masa depan kerjaya golongan itu perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mempercepat usaha menambah baik skim perkhidmatan guru KAFA menerusi sistem pelantikan yang lebih berstruktur, termasuk mempertimbangkan pelantikan tetap bagi mereka yang memenuhi syarat kelayakan dan tempoh perkhidmatan ditetapkan.

“Kadar elaun juga perlu dikaji semula berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman dan tempoh perkhidmatan, selaras dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penyediaan latihan perguruan, pensijilan dan laluan kemajuan kerjaya yang lebih tersusun bagi meningkatkan profesionalisme guru KAFA.

Dalam pada itu, Ahmad Johnie meminta kerajaan menjelaskan perkembangan Program Rintis KAFA Perdana yang dirangka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), termasuk kemungkinan memperkenalkan skim pelantikan tetap kepada guru KAFA di Sarawak.

Dalam isu berasingan, beliau meminta KPM memberikan penjelasan yang seragam berhubung pelaksanaan Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid yang didakwa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru.

Menurutnya, kementerian perlu memperincikan jumlah guru yang telah dan belum menandatangani dokumen berkenaan, khususnya di Sarawak dan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro, selain menjelaskan tindakan yang boleh dikenakan terhadap guru yang belum berbuat demikian.

Beliau turut mencadangkan supaya KPM mengeluarkan penjelasan bertulis kepada semua sekolah bagi memastikan pelaksanaan aku janji itu difahami secara seragam serta mengelakkan perbezaan tafsiran dalam kalangan guru.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU