KUCHING: Pengasingan sampah secara manual berpotensi digantikan teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila Sarawak merancang memperkenalkan sistem automatik bagi mengenal pasti dan mengasingkan sisa mengikut kategori.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY), Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, teknologi itu membolehkan sampah diasingkan kepada bahan organik dan bukan organik sebelum diproses menggunakan kaedah bersesuaian.
Menurutnya, penggunaan AI merupakan antara pendekatan yang dirancang dalam pembangunan industri Sisa-ke-Tenaga (WTE) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa di negeri ini.
“Pengguna hanya perlu memasukkan sampah ke dalam sistem sebelum AI mengasingkannya secara automatik mengikut kategori bahan organik dan bukan organik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bicara Ilmu bertajuk “Ekonomi Hijau: Strategi Baharu Memperkasa Ekonomi Koperasi Sarawak” di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hazland berkata, penggunaan teknologi itu dilihat sebagai alternatif kepada kaedah pengasingan manual yang memerlukan perubahan tabiat masyarakat.
Katanya, usaha mendidik orang ramai supaya mengasingkan sampah mengikut kategori sebelum dibuang bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan secara menyeluruh.
“Negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Sweden juga berdepan cabaran untuk membentuk tabiat masyarakat supaya mengasingkan sampah mengikut kategori.
“Justeru, kita boleh memanfaatkan teknologi bagi melaksanakan proses itu secara lebih cekap dan tepat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hazland berkata, pembangunan industri WTE turut dirancang sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah tapak pelupusan sampah konvensional di Sarawak.
Menurutnya, sisa yang telah terkumpul di tapak pelupusan sedia ada juga berpotensi dikeluarkan untuk diproses menerusi sistem berkenaan.
Katanya, kaedah pelupusan konvensional mempunyai risiko tertentu, termasuk kejadian kebakaran di kawasan tapak pelupusan.
Beliau mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak sedang menjalankan kajian rintis bagi memanfaatkan gas metana yang terhasil daripada proses pereputan sampah di tapak pelupusan sedia ada.
“Gas metana yang terhasil daripada pereputan sampah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi dan bukannya dibiarkan terlepas begitu sahaja.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai banyak tapak pelupusan yang diuruskan pihak berkuasa tempatan, sekali gus memerlukan pendekatan lebih sistematik bagi menangani peningkatan jumlah sisa.
Katanya, penggunaan teknologi moden dalam sistem WTE bukan sahaja memberi tumpuan kepada penghasilan tenaga, malah berpotensi memperbaharui kaedah pengurusan sisa di negeri ini.




