KUCHING: Kecerdasan buatan (AI) bakal menjadi tonggak kekal pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi pembangunan Blueprint AI yang terancang agar dapat merealisasikan aspirasi ekonomi berteraskan teknologi itu menjelang 2030.
Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, pembangunan Sarawak Blueprint AI penting agar penerapannya dilaksanakan secara terancang dan berpandukan hala tuju yang jelas.

“Blueprint AI membolehkan semua pihak bergerak ke arah yang sama dalam mencapai aspirasi negeri atau mencatat pencapaian lebih baik.
“Sama ada kita menyukainya atau tidak, teknologi akan terus berkembang dan kita perlu bergerak ke hadapan.
“Sekiranya kita memilih untuk melaksanakannya, kita perlu memastikan ia dilakukan pada tahap terbaik dan langkah pertama untuk mencapainya adalah melalui perancangan seperti ini,” katanya ketika berucap pada Bengkel Permulaan Pembangunan Sarawak AI Blueprint di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, infrastruktur digital yang kukuh dan modal insan berkeupayaan merupakan antara pemangkin utama untuk membolehkan Sarawak mencapai standard dunia dalam penerapan AI.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua elemen itu perlu disertai penerimaan teknologi AI secara menyeluruh oleh pemain industri, masyarakat dan ahli akademik.
Sementara itu, jelasnya, kerajaan turut melaksanakan beberapa usaha berkaitan AI, termasuk aspirasi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan grid AI.
Sehubungan itu, beliau yakin aspirasi pembangunan grid AI dapat direalisasikan dalam masa terdekat.





