ARTIKEL

Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bergambar kenangan bersama peserta sejurus selesai merasmikan Bengkel Asas AI Komuniti Miri anjuran Persatuan Belia Miri bersama ETFDP Sarawak dan TEGAS Miri.

AI boleh jana pendapatan dan kembang perniagaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membuka peluang ekonomi baharu kerana bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pendedahan terhadap teknologi AI perlu diperluas supaya kemahiran digital tidak hanya tertumpu kepada golongan profesional.

Justeru, katanya, usaha memperkenalkan AI menerusi pendekatan praktikal adalah penting bagi membantu masyarakat memahami manfaat teknologi berkenaan, selain membina keyakinan untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian.

“Teknologi ini mempunyai potensi besar dalam membantu usahawan kecil menghasilkan bahan promosi, kandungan media sosial dan bahan pemasaran dengan lebih pantas.

“Malah, ia juga membolehkan mereka memperluas capaian kepada pelanggan tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi,” katanya merasmikan Bengkel Asas AI Komuniti Miri anjuran Persatuan Belia Miri bersama Program Pembangunan Bola Sepak Bakat Elit (ETFDP) Sarawak dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Miri, hari ini.

Pada masa yang sama, ujarnya, masyarakat juga perlu bersikap terbuka terhadap perubahan teknologi, selain menyedari AI mampu menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya saing individu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Miri, Mohammad Antique Ashwin Abuzar berkata, pihaknya mahu program berkenaan menjadi platform berterusan untuk memperkenalkan kemahiran AI kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama dengan ETFDP Sarawak dan TEGAS Miri akan terus diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak program berkaitan teknologi, kreativiti dan kemahiran digital dianjurkan, selain kandungan bengkel pada masa depan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar peserta.

Hadir sama ialah Timbalan Datuk Bandar Miri, Kaunselor Ariffin Mohamad, dan Pengurus Kanan TEGAS, Syukri Arabi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU