ARTIKEL

AI bukan alat sebar fitnah dan kandungan palsu – Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu dan menyebarkan fitnah boleh mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, teknologi AI membolehkan gambar, suara dan video dimanipulasi sehingga sukar dibezakan daripada keadaan sebenar.

“Jika digunakan dengan baik, ia boleh membawa kebaikan. Tetapi jika digunakan dengan niat untuk menipu, ia juga boleh mendatangkan keburukan,” katanya pada sidang media khas berhubung PRU Sarawak Ke-13 di sini, hari ini.

Risiko manipulasi AI perlu diberi perhatian, khususnya menerusi penyebaran video pendek di media sosial, memaparkan individu seolah-olah berkata atau melakukan sesuatu perkara, sedangkan kandungan itu mungkin telah dimanipulasi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menggunakan AI secara bertanggungjawab dan tidak menjadikannya alat untuk menyerang peribadi atau memfitnah lawan politik.

Mengulas penggunaan media sosial dalam kempen pilihan raya, Abdul Karim berkata, platform itu kini menjadi saluran penting bagi calon memperkenalkan latar belakang, kebolehan dan rekod masing-masing kepada pengundi.

“Bagaimanapun, kempen tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada media sosial kerana pengundi juga mahu melihat sendiri penampilan, tutur kata dan keperibadian seseorang calon ketika turun bertemu masyarakat,” katanya.

“Cara lama tidak boleh kita ketepikan. Rakyat juga perlu melihat budi bicara, penampilan dan karakter seseorang apabila berdepan sendiri dengan bakal calon,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

BERITA LAIN

Undi18 ubah landskap pengundi Sarawak

KUCHING: Pengundi muda dijangka memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 susulan pertambahan jumlah pemilih baharu selepas pelaksanaan Undi18. Ketua Penerangan Parti Pesaka

BERITA TERBARU

Undi18 ubah landskap pengundi Sarawak

KUCHING: Pengundi muda dijangka memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 susulan pertambahan jumlah pemilih baharu selepas pelaksanaan Undi18. Ketua Penerangan Parti Pesaka