ARTIKEL

Undi18 ubah landskap pengundi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengundi muda dijangka memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 susulan pertambahan jumlah pemilih baharu selepas pelaksanaan Undi18.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua pihak perlu menghormati kebijaksanaan golongan muda dan memberi ruang kepada mereka menilai sendiri calon serta parti yang bertanding.

“Jangan racuni fikiran mereka atau gunakan sentimen ekstrem seperti kalau bukan bangsa kita jangan undi atau kalau bukan agama kita jangan undi.

“Pendekatan politik seperti itu sangat berbahaya. Kita perlu membentuk mereka menjadi pengundi dan rakyat yang berpandangan terbuka serta mampu menilai sendiri siapa yang sesuai menjadi wakil rakyat,” katanya pada sidang media khas berhubung PRU Sarawak Ke-13 di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah pengundi muda dan pemilih baharu kini semakin besar sehingga tidak boleh dipandang ringan mana-mana parti yang bertanding.

Peningkatan jumlah pemilih turut dapat dilihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya apabila jumlah pengundi meningkat daripada kira-kira 12,000 pada pilihan raya lalu kepada lebih 19,000 berdasarkan daftar pemilih terdahulu, dan berpotensi melepasi 20,000 selepas kemas kini sehingga September 2026.

“Peningkatan besar itu turut berlaku di kawasan lain dan mencerminkan perubahan ketara komposisi pengundi selepas pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pemilih secara automatik.

“Sehubungan itu, semua parti termasuk pembangkang dan calon Bebas bertanggungjawab menggalakkan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan hak masing-masing,” katanya.

Mengulas penetapan 12 Disember sebagai hari pengundian, Abdul Karim berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana penetapan jadual pilihan raya terletak di bawah bidang kuasa badan itu.

“Apa yang lebih penting ialah pilihan raya berlangsung secara aman dan pengundi menunaikan tanggungjawab dengan berhemah tanpa tindakan agresif yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Beliau berharap semua pihak dapat memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung lancar serta mengamalkan sikap berhemah sepanjang tempoh berkempen.

“Kepada bakal calon dan pengundi, jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Mengundilah dan berkempenlah secara berhemah supaya proses demokrasi yang kita lalui setiap lima tahun berjalan dengan baik,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU