ARTIKEL

Wilfred Yap

Tempoh Kempen 14 Hari Beri Ruang Calon Perjelas Isu, Perbetul Maklumat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tambahan dua hari tempoh kempen bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 memberi ruang lebih luas kepada calon untuk menjawab dakwaan, memperbetul maklumat tidak tepat serta memastikan pengundi mendapat penjelasan yang jelas sebelum membuat keputusan pada 12 Disember ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, tempoh kempen yang lebih panjang itu merupakan perkembangan positif kerana membolehkan calon memperluas usaha mendekati pengundi, khususnya di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Kami mengalu-alukan jadual yang ditetapkan, terutama kerana tempoh berkempen kali ini lebih panjang dua hari berbanding pilihan raya negeri sebelumnya,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara adil dan berlandaskan fakta terutama ketika pelbagai isu dibangkitkan menjelang pilihan raya.

Yap mendakwa parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia sebelum ini menggunakan jentera kempen yang tersusun untuk menyebarkan maklumat tidak benar, memutarbelitkan isu tempatan serta memetik kenyataan di luar konteks sehingga boleh mengelirukan pengundi.

Mengambil contoh kontroversi membabitkan Balai Polis Kota Sentosa, beliau mendakwa tuduhan pembangkang berkaitan isu pengambilan tanah tidak menggambarkan keadaan sebenar cadangan pembangunan berkenaan.

“Hakikatnya, balai polis sedia ada berada dalam keadaan usang dan sejak awal hanya berfungsi sebagai kemudahan operasi sementara.

“Melalui kerjasama awam-swasta yang dilaksanakan mengikut Kanun Tanah Sarawak, pemaju swasta menanggung sepenuhnya kos pembinaan sebuah kompleks baharu yang moden untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Ini bermakna penduduk akan memperoleh kemudahan balai polis yang memenuhi piawaian ditetapkan tanpa menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Yap turut menjelaskan bahawa kelulusan asal pemberimilikan tanah berkenaan diberikan pada 2006 manakala beberapa lot utama didaftarkan pada 2011.

Beliau mendakwa proses itu berlaku ketika seorang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) memegang jawatan, namun pemimpin berkenaan tidak membangkitkan sebarang bantahan pada waktu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan membangkitkan semula isu berkenaan menjelang pilihan raya sebagai sandiwara politik, selain mendakwa pembangkang hanya mengetengahkan maklumat tertentu bagi mencetuskan kemarahan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU Sarawak Ke-13, manakala pengundian awal dijadualkan pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember 2026.

Tempoh kempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 28 November dan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Disember, sehari sebelum pengundian berlangsung.

Untuk rekod, PRU Sarawak Ke-12 yang diadakan pada 18 Disember 2021 memperuntukkan tempoh kempen selama 12 hari, bermula selepas penamaan calon pada 6 Disember hingga 17 Disember.

BERITA LAIN

Pengurusan sumber, ekonomi jadi fokus PRU Sarawak

KUCHING: Pengurusan sumber, pembangunan dan hala tuju ekonomi negeri dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), berbanding isu tanah

BERITA TERBARU

Pengurusan sumber, ekonomi jadi fokus PRU Sarawak

KUCHING: Pengurusan sumber, pembangunan dan hala tuju ekonomi negeri dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), berbanding isu tanah