ARTIKEL

Pengurusan sumber, ekonomi jadi fokus PRU Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengurusan sumber, pembangunan dan hala tuju ekonomi negeri dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), berbanding isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sebelum ini sering mendominasi perbahasan politik.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, isu NCR masih wujud, namun tidak lagi menjadi tumpuan utama seperti dalam beberapa pilihan raya terdahulu.

Menurutnya, pengundi kini semakin menilai aspek lebih luas termasuk prestasi pentadbiran, pengurusan kewangan negeri, pembangunan infrastruktur serta kemajuan rundingan berkaitan hak Sarawak.

Katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengetengahkan rekod pentadbiran kerajaan negeri sejak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil alih kepimpinan pada 2017 sebagai antara bahan utama kempen.

“Antaranya, kemajuan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, penubuhan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak, pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

“Malah, Pelabuhan Bintulu secara rasmi beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 September lalu,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan jalan raya, lebuh raya pesisir dan jambatan turut memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, khususnya penduduk di kawasan yang sebelum ini berdepan kekangan perjalanan.

“Kita percaya rakyat dan pengundi bijak. Kita mahu mereka melihat semua perkara secara pragmatik dan analitikal sebelum membuang undi.

“Pengundi mempunyai ruang untuk menilai sendiri sama ada pembangunan serta dasar yang dilaksanakan memenuhi keperluan mereka sebelum menentukan pilihan pada 12 Disember nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kedudukan kewangan Sarawak yang semakin kukuh membolehkan kerajaan negeri membiayai lebih banyak program pembangunan.

Menurutnya, berdasarkan Belanjawan Sarawak 2027, hasil negeri diunjurkan mencecah RM15.091 bilion berbanding RM6.864 bilion pada 2017, iaitu peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh sedekad.

“GPS akan membawa rekod tersebut kepada pengundi sebagai antara asas penilaian terhadap kesinambungan dasar dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030,” katanya.

BERITA LAIN

Pengundi muda luar kawasan jadi cabaran PRS Youth

KUCHING: Memastikan pengundi muda yang belajar dan bekerja di luar kawasan pulang menunaikan tanggungjawab pada 12 Disember menjadi cabaran utama Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak

BERITA TERBARU

Pengundi muda luar kawasan jadi cabaran PRS Youth

KUCHING: Memastikan pengundi muda yang belajar dan bekerja di luar kawasan pulang menunaikan tanggungjawab pada 12 Disember menjadi cabaran utama Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak