ARTIKEL

Lelaki rugi RM2,470 diperdaya peraduan gores dan menang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Tawaran hadiah wang tunai RM80,827 menerusi peraduan gores dan menang di Facebook menyebabkan seorang lelaki berusia 32 tahun kerugian RM2,470 selepas terpedaya dengan helah penganjur.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa tertarik menyertai peraduan yang disiarkan secara langsung itu pada Rabu lalu dengan membeli 20 keping kad gores berharga RM50.

Menurutnya, selepas menggores semua kad berkenaan, mangsa dimaklumkan kononnya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM80,827.

“Suspek kemudian meminta mangsa membayar RM720 sebagai yuran penebusan hadiah.

“Mangsa turut diarahkan membuat bayaran tambahan RM1,700 bagi tujuan pengesahan akaun bank, kononnya wang itu akan dikembalikan bersama hadiah kemenangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM2,470 ke dua akaun berbeza mengikut arahan suspek.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila hadiah kemenangan yang dijanjikan tidak diterima sehingga kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

“Suspek juga gagal dihubungi, manakala akaun Facebook yang digunakan untuk menjalankan peraduan itu tidak lagi dapat ditemukan,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari kerugian yang dialaminya berjumlah RM2,470.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran hadiah wang tunai yang tidak munasabah di media sosial, khususnya peraduan yang mengenakan bayaran sebelum hadiah boleh dituntut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan penganjur dan mengelakkan pemindahan wang ke akaun individu tidak dikenali.

“Mangsa penipuan dalam talian dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak bank masing-masing dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Pengurusan sumber, ekonomi jadi fokus PRU Sarawak

KUCHING: Pengurusan sumber, pembangunan dan hala tuju ekonomi negeri dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), berbanding isu tanah