KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan mampu mempercepatkan proses kerja wartawan, namun tidak seharusnya menggantikan peranan manusia dalam menghasilkan berita yang sahih dan mempunyai nilai keaslian.
Tenaga pengajar bengkel, Syahrul Nizam berkata, kekuatan utama wartawan masih terletak pada kemampuan mendapatkan maklumat secara langsung menerusi temu bual dan pengalaman di lapangan.
Katanya, AI boleh digabungkan dengan kemahiran wartawan bagi menghasilkan penceritaan yang lebih menarik, khususnya melalui penggunaan video, grafik, audio dan kandungan digital.

“Storytelling bukan AI, kemampuan AI untuk buat storytelling ada, tetapi tidak cukup kuat kalau kita buat secara AI 100 peratus.
“Dengan adanya AI dan pemikiran wartawan sendiri, kita kombinasikan dua perkara itu dan hasilnya lebih mantap,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Pengisahan Digital, di sini hari ini.
Syahrul yang juga pensyarah di Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat UNIMAS berkata, antara kelebihan utama penggunaan kandungan visual ialah keupayaannya menyampaikan mesej dengan lebih mudah kepada sasaran.
Beliau berkata, perubahan daripada media tradisional kepada penggunaan telefon bimbit dan peranti digital menjadikan masyarakat kini lebih terdedah kepada kandungan berbentuk visual.
“Jadi wartawan yang ambil peluang ini akan dapat menyampaikan mesej dengan lebih mudah, mudah untuk buat kandungan dan mudah sampai kepada sasaran,” katanya.
Syahrul berkata, keaslian kandungan pula menjadi perkara penting yang membezakan hasil kerja wartawan dengan kandungan yang dijana sepenuhnya menggunakan AI.
Katanya, maklumat yang diperoleh menerusi temu bual bersama sumber atau hasil liputan di lapangan tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi berkenaan.
“Contohnya kandungan yang hanya akan dapat bila kita temu bual, kena jumpa dan kena temu bual subjek.
“Itu AI tidak boleh jana, jadi wartawan masih diperlukan untuk temu bual, masuk ke pedalaman Sarawak dan mendapatkan cerita,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman serta pertimbangan wartawan juga penting dalam menentukan keseimbangan antara kedalaman kandungan dengan tempoh perhatian penonton.
Katanya, kandungan yang terlalu panjang berisiko menyebabkan penonton hilang tumpuan, manakala kandungan yang terlalu ringkas pula mungkin tidak mampu menyampaikan sesuatu isu secara mendalam.
“Dalam perkara ini, kita perlukan kebijaksanaan dan pengalaman wartawan sebenar, jangan serahkan 100 peratus kepada AI,” katanya.
Dalam pada itu, Syahrul mengingatkan pengamal media supaya sentiasa membuat semakan berulang terhadap maklumat yang dihasilkan dengan bantuan AI bagi mengelakkan kesilapan.
Katanya, antara risiko penggunaan AI sepenuhnya ialah berlakunya ‘hallucination’ apabila sistem menghasilkan maklumat yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak semestinya tepat.
“Anda masih perlu semak dua atau tiga kali sendiri sebelum menerbitkannya,” katanya.
Bengkel hari ini disertai 39 orang yang terdiri daripada barisan editor digital, wartawan dan wartawan digital serta juruteknik kandungan digital Suara Sarawak dan Sarawak Tribune.






