ARTIKEL

AIDEL ketika berbual dengan Mohamad dan Friday seusai meninjau Pakej A5 Jalan Utama Kedua di Simpang Roban, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

Aidel gesa projek jalan penghubung siap segera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ROBAN: Susulan kelewatan pembinaan jalan utama yang menghubungkan empat jambatan utama di Sarawak, agensi pelaksana serta kontraktor digesa mempercepatkan kerja di tapak bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, situasi semasa menunjukkan jambatan telah siap lebih awal berbanding jalan penghubung, sekali gus menjejaskan tujuan asal pembinaan infrastruktur tersebut.

“Jika dahulu pembinaan jambatan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan, namun kini keadaan terbalik apabila jalan penghubung pula lewat disiapkan.

AIDEL serta rombongan diberikan taklimat tentang status pembinaan jalan dari Jambatan Batang Saribas Dua ke Persimpangan Roban oleh Jason Ng di sini, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

“Sehubungan itu, lawatan kerja hari ini memberi tumpuan kepada Pakej B4 (pembinaan jalan dari Jambatan Batang Lupar Dua di Sri Aman ke Persimpangan Betong) dan Pakej A5 (pembinaan jalan dari Jambatan Batang Saribas Dua ke Persimpangan Roban) bagi menilai sendiri kemajuan projek, khususnya apabila jambatan telah dan hampir siap tetapi jalan akses masih belum lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa meninjau Pakej A5 Jalan Utama Kedua di Simpang Roban, hari ini.

Jelasnya, kerajaan komited memastikan projek disiapkan segera tanpa menjejaskan kualiti, dengan kebanyakan jalan dibina mengikut piawaian JKR R5.

Empat jambatan yang dikenal pasti masih belum mempunyai jalan akses siap sepenuhnya ialah Jambatan Batang Krian, Jambatan Batang Lupar Dua, Jambatan Batang Lingga dan Jambatan Batang Sejingkat.

Jelasnya, Jambatan Batang Krian telah mula digunakan sejak Mac lalu, namun jalan menuju ke Simpang Roban yang dijangka memendekkan masa perjalanan masih belum siap sepenuhnya.

“Situasi sama turut berlaku di Jambatan Batang Sejingkat yang dijangka siap dalam masa terdekat, tetapi satu seksyen jalan dari Jambatan Batang Samarahan ke Tanjong Bako masih dalam pembinaan.

“Bagi Jambatan Batang Lupar Dua di Sri Aman pula, ia dijangka siap pada Ogos depan, namun jalan dari Betong ke lokasi tersebut masih belum dapat disiapkan.

“Manakala Jambatan Batang Lingga telah siap, tetapi jalan penghubung ke Jambatan Batang Lupar Satu di Sebuyau masih dalam pembinaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar semua pihak terlibat mempergiat usaha bagi memastikan projek yang dinanti-nantikan rakyat Sarawak ini dapat disiapkan mengikut jadual.

Dalam perkembangan sama, projek Pakej A5 Jalan Utama Kedua dari Jambatan Batang Saribas Dua ke Simpang Roban sepanjang 28.5 kilometer dengan kos lebih RM431 juta kini mencapai kemajuan 63.9 peratus dan dijangka siap pada Disember 2026.

Apabila siap kelak, laluan tersebut dijangka memendekkan jarak perjalanan dari Kuching ke Simpang Roban kepada hanya kira-kira 160 kilometer.

Turut hadir ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik dan Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon Tuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU