KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji mentaliti dan semangat juang anak buahnya yang tidak mengalah sehingga wisel penamat selepas dua kali bangkit untuk mengikat Tampines Rovers FC 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Gabriel Peres menjadi penyelamat The Cats menerusi dua jaringan lewat permainan, termasuk gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan Kuching City meraih satu mata dalam penampilan sulung mereka di kejohanan kelab serantau itu.

Menurut Aidil, The Cats secara keseluruhan berjaya menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, namun berdepan disiplin pertahanan serta ketangkasan penjaga gol Tampines, Zharfan Rohaizad.
“Kalau dilihat keseluruhan perlawanan, saya rasa kita menguasai permainan dengan baik dan tidak layak tewas.

“Kita mempunyai beberapa peluang, tetapi kita juga perlu memberikan kredit kepada penjaga gol serta pertahanan Tampines yang berjaya menghalang kita.
Secara keseluruhan, saya rasa kita pasukan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Aidil berkata, perlawanan itu turut mendedahkan beberapa kelemahan terutama dari segi konsentrasi serta kesilapan individu yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi aksi seterusnya.
Beliau menegaskan kesilapan kecil sukar dimaafkan pada peringkat antarabangsa kerana setiap pasukan memiliki pemain berkualiti yang mampu menghukum lawan pada bila-bila masa.
Selain itu, Aidil berkata, Kuching City sudah menjangkakan perlawanan sukar berdepan wakil Singapura itu, namun berpuas hati melihat pemain terus bekerja keras meskipun ketinggalan.
Beliau turut menyifatkan aksi berkenaan sebagai pengalaman berharga buat beberapa pemain yang pertama kali beraksi dalam pertandingan kelab antarabangsa, termasuk Gabriel Nistelrooy.
Tampines terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Naberu Yoshitaka Furusawa pada minit ke-13 sebelum Kuching City terpaksa menunggu sehingga penghujung permainan untuk menyamakan kedudukan.
Peres kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-87, namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Kohya Kazama kembali meletakkan Tampines di hadapan seminit kemudian.
Ketika Tampines hampir membawa pulang tiga mata, Peres sekali lagi muncul pada minit ke-93 menerusi tandukan untuk memastikan keputusan berakhir 2-2.
Keputusan seri itu menyaksikan Kuching City dan Tampines masing-masing mengutip satu mata selepas aksi pertama, manakala dua lagi perlawanan Kumpulan A turut berakhir seri apabila juara bertahan Buriram United terikat tanpa jaringan dengan Borneo FC Samarinda, sementara Ratchaburi FC seri 1-1 dengan Ho Chi Minh City Police FC.
The Cats kini perlu segera mengalihkan fokus kepada saingan domestik apabila menerima kunjungan Kelantan City FC dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA Malaysia 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin pada Sabtu, 10 Oktober, 7.45 malam.



