KUALA LUMPUR: Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan berhubung kedudukannya bersama pasukan terbabit.
Menurut Aidil, biarlah pihak pengurusan mengumumkan perkara itu kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.
“Saya fikir biarlah kelab yang mengumumkannya. Saya perlu bersikap profesional dan sudah tentu saya suka Kuching City, namun biarlah kelab mengumumkannya secara rasmi. Itu yang terbaik dan saya menghormati kelab, jadi kita akan lihat bagaimana keadaannya nanti,” kata Aidil pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 2-0 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Aidil berkata beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk menambah baik skuad Kuching City sekiranya beliau kekal sebagai pengendali The Cats musim depan.
Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, perkara berkenaan amat penting kerana Kuching City akan menghadapi cabaran lebih hebat musim depan apabila turut bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
“Sudah tentu saya mahu skuad yang lebih baik musim depan. Sebagai jurulatih, anda perlu memberikan keputusan yang baik kerana bola sepak adalah mengenai keputusan. Apabila keputusan tidak baik, orang akan menuding jari kepada ketua jurulatih dan itu normal.
“Xabi Alonso adalah jurulatih yang bagus tetapi dia tidak dapat melakukannya dengan baik di Real Madrid. Jadi pastinya kami mahu bertambah baik dan kami perlu duduk bersama pihak pengurusan untuk melihat kualiti yang kami perlukan,” tambahnya.
Sambil mengakui Kuching City akan beraksi dalam ACL2, ACC, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, beliau berkata pasukan itu akan menghadapi banyak pertandingan.
“Jangan lupa kami akan bertemu JDT lagi dalam perlawanan sumbangsih.
“JDT akan memperbaiki pasukan mereka dan kami juga perlu mencari jalan untuk memperbaiki diri, tetapi bergantung kepada bajet. Kami tidak mahu berbelanja melebihi bajet dan pemain tidak mendapat gaji seperti sesetengah kelab lain,” katanya.
Terdahulu, Aidil turut memohon maaf kepada seluruh penyokong Kuching City kerana tidak berjaya memberikan keputusan yang diharapkan di pentas akhir Piala Malaysia meskipun memberi saingan sengit kepada Harimau Selatan itu.



