ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan pemainnya masih belum menemui rentak sebenar rentetan kekalahan 3-0 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
Menurut Aidil, situasi tersebut berlaku kerana sebahagian pemain terlepas menyertai program pramusim The Cats di Chiangmai, Thailand pada Julai lalu akibat beberapa isu, termasuk masalah visa.
Pengemudi kelahiran Singapura itu percaya kem kendaliannya akan tampil dengan lebih baik selepas ini.
“Saya akui pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita sudah mengenal pasti kelemahan dan yakin akan tampil dengan lebih baik selepas ini.
“Sesetengah sudah mengharungi pramusim dengan sesetengah lagi tidak dapat kerana berdepan beberapa masalah. Ini satu perkara kita perlu belajar. Saya fikir kita akan jadi lebih bagus selepas beberapa perlawanan nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan JDT melakar rekod baharu dunia menerusi rekod perlawanan tanpa kalah terpanjang dengan 109 perlawanan.
Harimau Selatan turut menjulang trofi Piala Sumbangsih 2026 buat kali kesembilan berturut-turut.
Kuching City bagi perlawanan berikutnya akan menentang Kuala Lumpur City FC di Cheras pada Rabu depan (26 Ogos).



