ARTIKEL

Aidilfitri erat keluaraga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PEJAM celik, tiba-tiba sudah seminggu umat Islam di Malaysia meraikan Aidilfitri setelah menunaikan ibadah puasa sebulan Ramadan.

Aidilfitri melambangkan kemenangan bagi umat Islam dalam mendidik nafsu sepanjang Ramadan, dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. 

Pada waktu ini juga, ia peluang terbaik untuk meminta maaf antara satu sama lain, seperti yang sering diungkapkan iaitu “Maaf Zahir dan Batin” atas segala kesalahan, sama ada yang disedari atau tidak.

Walaupun ungkapan tersebut ringkas, namun mempunyai maksud yang mendalam dan menunjukkan bahawa kita benar-benar meminta maaf, dan bukan sekadar kata-kata.

Sehubungan itu, bukan hanya umat Islam yang turut meraikan hari raya ini, malah mereka yang bukan beragama Islam juga meraikannya, terutamanya masyarakat di Sarawak. 

Kita juga tahu bahawa Sarawak mempunyai kepelbagaian agama, bangsa, dan budaya.

Disebabkan itu, tidak hairanlah semasa hari raya, rumah dipenuhi dengan sanak saudara yang berlainan agama.

Di kawasan saya, kebanyakan sanak saudara terdiri daripada kaum Cina dan mereka akan berkunjung pada hari pertama untuk merasai lemang, ketupat, rendang, serta juadah raya yang lain.

Bagi mereka, kuih-muih adalah perkara biasa, dan masakan panas pada hari pertama menjadi pilihan utama semasa perayaan ini.

Lebih menarik, ada antara mereka yang lengkap berpakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung semasa mengunjungi rumah sanak saudara yang menyambut hari raya.

Suasana ini menjadi simbol kasih sayang, hormat-menghormati dan perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat di Sarawak. 

Amalan kunjungmengunjung ke rumah semasa perayaan ini menunjukkan bahawa kita menghormati perbezaan yang ada dan tidak melihatnya sebagai satu penghalang untuk bersatu padu.

Dalam erti kata lain, perbezaan itu yang menyebabkan hubungan semakin kukuh kerana banyak pengalaman yang boleh kita peroleh daripada mereka melalui perbezaan tersebut. 

Di samping itu, hari raya ialah peluang untuk kita menziarahi sanak saudara yang jauh di mata.

Pada hari raya, tentunya yang jauh akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Walaupun kita sentiasa berhubung dengan mereka melalui WhatsApp atau media sosial lain, adalah lebih baik bersua muka kerana kita dapat berkongsi banyak pengalaman bersama.

Tidak dinafikan, perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing mengambil masa agak lama, terutamanya bagi mereka yang menggunakan feri untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Namun, semuanya berbaloi apabila kaki sudah menjejak halaman rumah dan disambut dengan pelukan ibu serta senyuman ayah.

Tentunya, perjalanan jauh tidak terasa dengan kehadiran kedua-dua insan ini.

Begitu juga dengan rakan-rakan, tentunya banyak pengalaman dan ilmu baharu yang dikongsikan bersama sepanjang kita tidak berjumpa antara satu sama lain.

Ada antara mereka yang berkongsi tentang kerjaya, pendidikan, kehidupan rumah tangga dan sebagainya.

Mungkin kita sering melihat rakan-rakan kita memuat naik kehidupan mereka di media sosial, tetapi adalah lebih baik untuk mendengar kisah mereka secara bersemuka. 

Hari raya bukan sekadar perayaan, malah mengukuhkan lagi silaturahim antara satu sama lain, walaupun berbilang bangsa dan agama. 

Namun, dalam kegembiraan meraikan hari raya, jangan pernah lupa kepada mereka yang telah meninggalkan kita untuk selamanya. 

Sepanjang hari raya ini juga, ambil peluang untuk menziarahi pusara mereka dan sedekahkan al-Fatihah.

Ziarah pusara cara untuk kita mengingati insan tersayang yang telah pergi untuk selamanya. 

Saya percaya, semasa di kubur, tangan menabur bunga, menyiram air, dan mulut tidak putus berdoa, tetapi hati pula mengimbau kenangan bersama ketika mereka masih hidup.

Gelak tawa semasa hayat, nasihat yang tidak pernah putus dan kasih sayang daripada mereka menjadi ingatan yang segar dalam diri kita. Kita tidak tahu apa-apa yang bakal berlaku pada masa akan datang, dan bagi mereka yang masih mempunyai keluarga lengkap semasa hari raya ini, ambil peluang untuk menghargai mereka. 

Bagi mereka yang tidak sempat menziarahi rumah sanak saudara dan rakan taulan, masih ada masa untuk berbuat demikian kerana Aidilfitri diraikan sebulan.

BERITA LAIN

Kesedaran kanser payudara tanggungjawab bersama

KESEDARAN tentang kanser payudara bukan sekadar tanggungjawab wanita, sebaliknya perlu menjadi perhatian seluruh masyarakat, termasuk golongan lelaki yang turut berisiko menghidap penyakit itu. Menyedari kepentingan

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira