PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri.
Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk.
Selain itu, program sukan seumpama ini juga berupaya menjadi produk pelancongan domestik, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan 1,100 peserta dari seluruh Sarawak. masyarakat setempat, malah Menurutnya, penganjuran program itu sekali gus memberi peluang kepada peserta dari luar kawasan untuk menikmati keindahan dan keunikan perkampungan nelayan di kawasan DUN Sadong Jaya.
“Kita melihat sambutan yang amat memberangsangkan terhadap penganjuran larian edisi kedua ini.
“Saya percaya program ini bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar kawasan, malah mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak ketika mengulas penganjuran program larian berkenaan.
Katanya, laluan jalan pesisir yang digunakan dalam program berkenaan turut menyajikan pemandangan alam semula jadi yang indah.
Terdahulu, Aidel yang juga ADUN Sadong Jaya, turut diberi penghormatan untuk menyempurnakan perasmian program larian tersebut.
Beliau juga percaya penganjuran program berkenaan secara tidak langsung dapat menjadi landasan terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak.
“Walaupun program berkenaan bersifat santai, impaknya amat besar.
“Dengan kata lain, program ini memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat untuk saling mengenali antara satu sama lain,” tambah beliau.
Penyelaras program, Kaunselor Yazid Ahmad Dewan, melahirkan rasa teruja dengan kejayaan penganjuran program larian berkenaan.
“Kejayaan penganjuran program larian kali ini amat bermakna kerana mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Beliau yang mewakili jawatankuasa pengelola turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Yazid berharap kerjasama yang terjalin itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.
“Kita berharap sokongan daripada semua pihak akan terus berkekalan.
“Perkara ini penting kerana pihak kami merancang untuk terus menganjurkan program berkenaan dengan lebih berprestij pada masa akan datang,” katanya.
Pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi mengisi program dan memeriahkan lagi suasana.
Antaranya termasuklah senamrobik dan cabutan bertuah.
“Penganjuran pelbagai acara sampingan turut memeriahkan suasana, termasuk acara cabutan bertuah,” katanya.
Selain majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, penyampaian hadiah khas kepada peserta kategori warga emas turut mencuri tumpuan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali; Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Program Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 dianjurkan oleh Saberkas Cawangan Sadong Jaya dengan kerjasama PBB Sadong Jaya.
Daripada keseluruhan 1,100 peserta, seramai 807 orang terdiri daripada komuniti Daerah Kecil Sadong Jaya dan pelajar sekolah, manakala 293 peserta lagi datang dari kawasan lain di seluruh Sarawak.
Pada masa sama, sebanyak tiga kategori dipertandingkan, iaitu 10 kilometer (lelaki dan wanita), 5 kilometer (lelaki dan wanita) serta 3 kilometer (lelaki dan wanita).



