ARTIKEL

Pengasas Borbiz Market, Erika Estie Bobby.

Program Pink Oktober 2026 tarik penyertaan komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kesedaran mengenai kanser payudara bukan sekadar tanggungjawab wanita, sebaliknya perlu menjadi perhatian seluruh masyarakat termasuk golongan lelaki yang turut berisiko menghidap penyakit itu.

Menyedari kepentingan tersebut, Borbiz Market menganjurkan program Pink Oktober 2026 selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober di pusat beli-belah The Hills, Kuching, bagi menyebarkan maklumat mengenai kanser payudara menerusi pendekatan santai, interaktif dan mesra komuniti.

Presiden SBCSG, Datin Juriah Sulehan (empat kanan) bersama Pakar Kesihatan Awam dan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Datu Dr. Zulkifli Jantan (kanan) serta model daripada SBCSG yang terdiri daripada pesakit kanser payudara yang telah pulih dan penjaga pesakit.

Pengasas Borbiz Market, Erika Estie Bobby, 32, berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen pihaknya untuk menjadikan platform itu bukan sekadar ruang perniagaan, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, Borbiz Market yang mula beroperasi pada April 2026 memberi tumpuan kepada peniaga kecil, pengusaha dari rumah serta usahawan muda dan baharu dengan menyediakan peluang menyertai acara jualan pada kadar mampu milik.

“Visi kami bukan hanya membantu peniaga, tetapi juga memberikan sesuatu kepada komuniti,” katanya.

Acara pertunjukan bakat yang mampu menarik perhatian ramai untuk datang berkunjung.

“Tema Pink Oktober dipilih selaras dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut pada Oktober setiap tahun.

“Kami mahu masyarakat memahami bahawa kesihatan perlu diberikan perhatian dan kanser payudara boleh dikesan lebih awal.

“Dengan bimbingan serta dorongan yang betul, seseorang boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan rawatan awal.

Pengunjung mengambil peluang mengunjungi reruai vendor tempatan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan.

“Sayangilah diri anda,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.

Antara pengisian utama program itu katanya, ialah pemeriksaan saringan kanser payudara secara percuma yang dilaksanakan pada 10 Oktober, dari 10 pagi hingga 2 petang, dengan kerjasama Sarawak Breast Cancer Support Group (SBCSG).

Erika berkata, pihaknya pada awalnya menyasarkan penyertaan seramai 50 orang, namun sambutan menggalakkan menyaksikan hampir 100 orang menjalani pemeriksaan sepanjang sesi berkenaan.

Suasana meriah sepanjang penganjuran Pink Oktober 2026 di pusat beli-belah The Hills, Kuching.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai perkembangan positif yang menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan semakin mendapat perhatian.

“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang diterima dan berterima kasih kepada SBCSG kerana bekerjasama dengan Borbiz Market untuk menjayakan kempen ini.

“Selain menyediakan pemeriksaan percuma, program ini turut memberikan perkongsian maklumat dan pengalaman daripada individu yang pernah melalui perjalanan menghadapi kanser payudara,” ujarnya.

Perkongsian pengalaman sebagai pesakit kanser payudara.

Menurut Erika, penglibatan SBCSG buat julung kalinya dalam program berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan secara lebih dekat kepada pengunjung.

Malah, jelasnya perkongsian pengalaman bekas pesakit, penjaga dan penyokong turut memberi ruang kepada masyarakat memahami cabaran yang dihadapi pesakit, termasuk kepentingan sokongan emosi sepanjang proses rawatan.

Beliau berharap pengalaman yang dikongsikan dapat membantu mengurangkan salah tanggapan masyarakat terhadap penyakit itu, selain mendorong lebih ramai individu mendapatkan maklumat yang tepat dan berkongsi pengetahuan tersebut dengan keluarga serta rakan.

Dalam pada itu, Erika berkata, program berkenaan turut mengetengahkan pendekatan kreatif melalui pertunjukan fesyen mini yang menampilkan individu yang pernah menghidap kanser payudara, penjaga serta penyokong sebagai peragawan dan peragawati.

Pertunjukan itu menampilkan koleksi pakaian daripada Oh Bakeh dan ER Makeup Artist yang secara sukarela memberikan sokongan kepada kempen berkenaan.

Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kesedaran kanser payudara.

Katanya, penglibatan mereka bukan sahaja memeriahkan acara, malah menjadi simbol sokongan komuniti terhadap individu yang berdepan atau pernah melalui pengalaman menghidap kanser payudara.

Program itu turut menampilkan Putra Putri Cilik Karlas Edisi 2026, persembahan bakat kanak-kanak, ceramah kesedaran kanser payudara serta penyertaan lebih 30 vendor tempatan.

Menurutnya, aktiviti berunsurkan hiburan dan perniagaan itu dirancang untuk menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka turut berpeluang mengikuti pengisian berkaitan kesihatan.

“Apabila program santai seperti pertunjukan fesyen dan persembahan bakat diadakan, orang ramai lebih tertarik untuk datang.

Salah seorang model pertunjukan fesyen.

“Pada masa yang sama, mereka boleh mengunjungi aktiviti lain yang memberi penekanan kepada tema utama kami.

“Kami berharap maklumat yang disampaikan dapat difahami dan menjadi pencetus kepada masyarakat untuk mengambil berat tentang kesihatan masing-masing,” kata beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kesedaran mengenai kanser payudara tidak seharusnya terhad kepada wanita kerana lelaki juga boleh menghidap penyakit tersebut.

Justeru, penglibatan usahawan lelaki, pengunjung dan masyarakat umum penting bagi memastikan maklumat berkaitan risiko serta kepentingan mendapatkan pemeriksaan kesihatan dapat disebarkan dengan lebih meluas.

Erika berkata, individu yang menerima keputusan saringan mencurigakan perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital atau kemudahan kesihatan bagi penilaian profesional dan tindakan susulan yang bersesuaian.

Mengulas sambutan keseluruhan, beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai acara lain berlangsung serentak di sekitar Kuching pada hujung minggu berkenaan, kehadiran pengunjung tetap menggalakkan.

Katanya, kejayaan program bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pengunjung atau jualan vendor, tetapi turut mengambil kira kelancaran penganjuran dan penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan kempen tersebut.

“Sudah tentu kami akan terus merancang kempen kesedaran seperti ini pada masa hadapan.

“Harapan kami agar Borbiz Market lebih dikenali bukan sahaja sebagai platform jualan, tetapi juga ruang untuk penganjur program, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU