ARTIKEL

Sarawak menanti kehadiran MPL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi.

Bagi saya, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bukan sekadar permainan video. Sejak mula mengenalinya pada 2016, permainan ini menjadi sebahagian daripada perjalanan peribadi saya, daripada sekadar mengisi masa lapang sehinggalah menyaksikan perkembangannya menjadi fenomena sukan elektronik (e-sukan) antarabangsa.

Siapa sangka, selepas 10 tahun, saya berpeluang membuat liputan sambutan ulang tahun permainan yang begitu dekat dengan kehidupan saya sendiri?

Pengalaman membuat liputan sambutan ulang tahun ke-10 MLBB di pusat beli-belah Vivacity, Kuching, baru-baru ini memberikan kepuasan tersendiri.

Bukan sahaja sebagai wartawan, tetapi juga sebagai peminat yang mengikuti perkembangan permainan ini sejak awal kemunculannya.

Lebih membanggakan, Kuching dipilih sebagai antara 10 lokasi di seluruh dunia untuk meraikan ulang tahun bersejarah itu.

Pemilihan tersebut bukan sesuatu yang kecil. Ia membawa pengiktirafan terhadap kewujudan komuniti MLBB di Sarawak yang selama ini mungkin kurang mendapat perhatian berbanding peminat di Semenanjung Malaysia.

Sambutan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober lalu dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertunjukan kostum membabitkan 133 wira MLBB, perlawanan persahabatan antara Saiyan dengan Bigetron MY by Vitality serta persembahan artis terkenal tanah air.

Yang lebih menarik perhatian saya ialah sambutan luar biasa daripada peminat

Bayangkan, sebanyak 3,000 tiket jualan awal habis terjual dalam tempoh singkat, manakala penganjur menyasarkan kehadiran melebihi 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.

Malah, hari pertama yang berlangsung pada hari persekolahan turut menerima sambutan memberangsangkan.

Angka ini bukan sekadar statistik kehadiran.

Bagi saya, ia mencerminkan minat masyarakat Sarawak terhadap e-sukan yang tidak seharusnya dipandang ringan.

Di sebalik kemeriahan sambutan itu, satu persoalan bermain dalam  kiran saya.

Jika Kuching mampu menghimpunkan begitu ramai peminat untuk sambutan ulang tahun MLBB, mengapa tidak kita membawa kejohanan besar seperti Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia ke Sarawak?

Persoalan ini bukan muncul secara tiba-tiba.

Sebagai pemain yang mengikuti MLBB sejak 2016, saya melihat sendiri perubahan landskap permainan ini. Dahulu, perlawanan hanya menjadi hiburan bersama-sama rakan.

Kini, pertandingan profesional menawarkan ruang kepada pemain berbakat untuk membina kerjaya, memperoleh pengiktirafan dan mewakili negara.

MPL Malaysia sendiri berkembang menjadi antara pentas persaingan e-sukan utama negara, menghimpunkan pasukan profesional dengan sokongan peminat yang begitu kuat.

Namun, kebanyakan pertandingan utamanya masih tertumpu di Semenanjung Malaysia.

Bagi peminat Sarawak, peluang menyaksikan pemain profesional beraksi secara langsung sering memerlukan perjalanan jauh, kos penerbangan dan perbelanjaan penginapan.

Justeru, penganjuran MPL di Kuching, walaupun hanya untuk satu minggu pertandingan atau peringkat tertentu, boleh menjadi langkah permulaan yang cukup bermakna.

Bayangkan suasana apabila pasukan profesional bertanding di hadapan ribuan penyokong tempatan.

Sorakan penonton, semangat persaingan dan keterujaan menyaksikan pemain kegemaran secara langsung tentunya memberikan pengalaman berbeza berbanding menonton melalui skrin telefon.

Malah, penganjuran kejohanan sebegini berpotensi memberikan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan, pengangkutan dan perniagaan setempat.

Lebih penting, ia membuka mata generasi muda bahawa e-sukan bukan semata-mata kegiatan bermain permainan video, sebaliknya industri yang merangkumi pengurusan acara, penyiaran, penciptaan kandungan, pemasaran dan pembangunan bakat. B

agaimanapun, minat yang tinggi sahaja belum mencukupi.

Untuk membawa kejohanan sebesar MPL, Sarawak memerlukan kerjasama erat antara penganjur, kerajaan, sektor swasta dengan komuniti e-sukan tempatan.

Kemudahan pertandingan, capaian Internet yang stabil, pengurusan teknikal, penajaan serta kebolehcapaian lokasi perlu diberikan perhatian serius.

Kita juga perlu membuktikan sambutan terhadap MLBB mampu diterjemahkan kepada sokongan berterusan terhadap pertandingan profesional, bukan sekadar kemeriahan acara bermusim.

Dalam hal ini, sambutan ulang tahun ke-10 MLBB boleh dijadikan titik permulaan untuk membuka erbincangan dengan MOONTON Games mengenai kemungkinan menganjurkan kejohanan berskala lebih besar di Sarawak.

Tidak semestinya terus menjadi tuan rumah keseluruhan musim MPL.

Barangkali satu siri pertandingan, perlawanan khas atau kejohanan pembangunan bakat sudah cukup untuk menguji kemampuan Sarawak.

Pada masa sama, lebih banyak pertandingan tempatan perlu diwujudkan bagi memberi peluang kepada pemain muda mengasah kemahiran dan membina pengalaman dalam suasana kompetitif.

Saya percaya Sarawak mempunyai peminat yang bersemangat.

Kini, cabarannya adalah untuk membina ekosistem yang mampu mengubah semangat tersebut menjadi peluang sebenar.

Selepas sedekad bersama MLBB, saya berharap suatu hari nanti dapat kembali membuat liputan acara permainan ini di Kuching, bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi kejohanan MPL yang sebenar.

Ketika itu, saya mahu melihat Sarawak bukan lagi sekadar lokasi meraikan kejayaan MLBB, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pentas yang mencipta sejarah baharu e-sukan negara.

Sepuluh tahun lalu, saya mengenali MLBB sebagai pemain.

Hari ini, saya menulis mengenainya sebagai wartawan.

Harapan saya, suatu hari nanti saya dapat menyaksikan MPL berlangsung di bumi Sarawak sendiri.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Program Pink Oktober 2026 tarik penyertaan komuniti

Kesedaran mengenai kanser payudara bukan sekadar tanggungjawab wanita, sebaliknya perlu menjadi perhatian seluruh masyarakat termasuk golongan lelaki yang turut berisiko menghidap penyakit itu. Menyedari kepentingan

BERITA TERBARU