ARTIKEL

PRESIDEN SBCSG, Datin Juriah Sulehan (empat kanan) bersama-sama Pakar Kesihatan Awam dan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Datuk Dr. Zulkifli Jantan (kanan) serta model-model daripada SBCSG yang terdiri daripada pesakit kanser payudara yang telah pulih dan penjaga pesakit.

Kesedaran kanser payudara tanggungjawab bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KESEDARAN tentang kanser payudara bukan sekadar tanggungjawab wanita, sebaliknya perlu menjadi perhatian seluruh masyarakat, termasuk golongan lelaki yang turut berisiko menghidap penyakit itu.

Menyedari kepentingan tersebut, Borbiz Market menganjurkan program Pink Oktober 2026 selama tiga hari, dari 9 hingga 11 Oktober, di pusat beli-belah The Hills, Kuching, bagi menyebarkan maklumat tentang kanser payudara melalui pendekatan yang santai, interaktif dan mesra komuniti.

Menurut Pengasas Borbiz Market, Erika Estie Bobby, 32, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen pihaknya untuk menjadikan platform itu bukan sekadar ruang perniagaan, malah turut berperanan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, Borbiz Market yang mula beroperasi pada April lalu memberikan tumpuan kepada peniaga kecil, pengusaha dari rumah serta usahawan muda dan baharu dengan menyediakan peluang untuk menyertai acara jualan pada kadar yang mampu dibayar.

“Visi kami bukan sekadar membantu peniaga, tetapi juga memberikan sumbangan kepada komuniti. Tema Pink Oktober dipilih bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut pada Oktober setiap tahun.

“Kami mahu masyarakat memahami kesihatan perlu diberikan perhatian dan kanser payudara boleh dikesan pada peringkat awal.

“Dengan bimbingan serta dorongan yang betul, seseorang boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan rawatan awal. Sayangilah diri anda,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.

PENGUNJUNG mengambil peluang mengunjungi reruai vendor tempatan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan.

Antara pengisian utama program itu, katanya, ialah pemeriksaan saringan kanser payudara secara percuma yang diadakan pada 10 Oktober, dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang, dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG).

Erika berkata, pihaknya pada awalnya menyasarkan penyertaan seramai 50 orang, namun sambutan yang menggalakkan menyaksikan hampir 100 orang menjalani pemeriksaan sepanjang sesi berkenaan.

Beliau menyifatkan sambutan itu sebagai perkembangan positif yang menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan.

“Kami amat bersyukur atas sambutan yang diterima dan berterima kasih kepada SBCSG kerana bekerjasama dengan Borbiz Market untuk menjayakan kempen ini.

“Selain menyediakan pemeriksaan percuma, program ini turut menjadi platform perkongsian maklumat dan pengalaman oleh individu yang pernah berdepan dengan kanser payudara,” ujarnya.

Menurut Erika, pelibatan SBCSG buat julung kalinya dalam program berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada pengunjung.

Malah, jelasnya, perkongsian pengalaman bekas pesakit, penjaga dan penyokong turut memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh pesakit, termasuk kepentingan sokongan emosi sepanjang proses rawatan.

Beliau berharap pengalaman yang dikongsikan dapat membantu mengurangkan salah tanggapan masyarakat tentang penyakit itu, selain menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan maklumat yang tepat dan berkongsi pengetahuan tersebut dengan keluarga serta rakan.

Dalam pada itu, Erika berkata, program berkenaan turut mengetengahkan pendekatan kreatif melalui pertunjukan fesyen mini yang menampilkan individu yang pernah menghidap kanser payudara, penjaga serta penyokong sebagai peragawan dan peragawati.

Pertunjukan itu menampilkan koleksi pakaian daripada Oh Bakeh dengan sokongan ER Makeup Artist yang turut memberikan khidmat secara sukarela bagi menjayakan kempen berkenaan.

Katanya, pelibatan mereka bukan sahaja memeriahkan acara, malah menjadi simbol sokongan komuniti terhadap individu yang sedang berdepan dengan kanser payudara atau pernah menghidap penyakit itu.

Program itu turut menampilkan Putra Putri Cilik Karlas Edisi 2026, persembahan bakat kanak-kanak, ceramah kesedaran kanser payudara serta penyertaan lebih 30 vendor tempatan.

Menurutnya, aktiviti berunsurkan hiburan dan perniagaan itu dirancang untuk menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka turut berpeluang mengikuti aktiviti berkaitan kesihatan.

“Apabila program santai seperti pertunjukan fesyen dan persembahan bakat diadakan, orang ramai lebih tertarik untuk datang.

“Pada masa sama, mereka boleh menyertai aktiviti lain yang memberikan penekanan kepada tema utama kami.

“Kami berharap maklumat yang disampaikan dapat difahami dan mendorong masyarakat untuk lebih mengambil berat tentang kesihatan masing-masing,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan kesedaran tentang kanser payudara tidak seharusnya terhad kepada wanita kerana lelaki juga boleh menghidap penyakit tersebut.

Justeru, pelibatan usahawan lelaki, pengunjung dan masyarakat umum penting bagi memastikan maklumat berkaitan risiko serta kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan dapat disebarkan dengan lebih meluas.

Erika berkata, individu yang menerima keputusan saringan yang mencurigakan perlu menjalani pemeriksaan lanjut di hospital atau kemudahan kesihatan bagi mendapatkan penilaian profesional dan tindakan susulan yang bersesuaian.

Mengulas sambutan keseluruhan, beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai acara lain yang berlangsung serentak di sekitar Kuching pada hujung minggu berkenaan, kehadiran pengunjung tetap menggalakkan.

Katanya, kejayaan program bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pengunjung atau jualan vendor, malah turut mengambil kira kelancaran penganjuran dan pelibatan pelbagai pihak dalam menjayakan kempen tersebut.

“Sudah tentu kami akan terus merancang kempen kesedaran seperti ini pada masa hadapan.

“Harapan kami agar Borbiz Market lebih dikenali bukan sahaja sebagai platform jualan, tetapi juga sebagai ruang untuk penganjur program, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama menjayakan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada komuniti,” katanya.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat