ARTIKEL

Tiga kursus buka perspektif baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching.

Kursus selama dua hari itu dikendalikan oleh Mimi Natasha Mohd Fauzi, pengajar kecerdasan buatan (AI), jurulatih kerjaya, jurulatih bertaultah HRD Corp dan jurutera AI dari FixxBZ Resources Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Saya menyertai kursus itu bersama-sama tujuh rakan sekeria dari Sarawak Tribune. Turut menyertai kami ialah tiga peserta dari Sarawak Energy dan dua peserta dari Tatau, Sabah.

Meskipun kursus tersebut tidak berkaitan secara langsung dengan bidang tugas saya, penyertaan itu memberikan peluang kepada saya untuk mempelajari perkara baharu, khususnya penggunaan AI dalam bidang pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan kesejahteraan.

Kursus yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang itu memberikan saya peluang untuk menimba pelbagai ilmu baharu bersama-sama 12 peserta lain dalam tempoh dua hari.

Sebanyak lapan modul diperkenalkan, iaitu Introduction to AI, Prompt Engineering Essentials, AI for Emails & Communication, AI for Minutes & Meetings, AI for Slide Decks & Visual Design, AI for Excel, Reports & Dashboards, AI for Travel Planning & Claims dan AI for Task Planning & Executive Support.

Kursus tersebut memberikan pendedahan dan pengalaman yang menarik kepada saya sebagai seorang editor, sekali gus membantu meningkatkan pengetahuan serta pemahaman tentang penggunaan teknologi AI dalam pelbagai urusan pekerjaan.

Sebenarnya, dalam tempoh tiga bulan ini, saya menghadiri tiga kursus berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan kursus terbaharu ialah AI for Admin, HR & Secretaries.

Sebelum ini, saya menghadiri dua kursus berkaitan AI yang dianjurkan oleh pihak pejabat dan kedua-duanya memberikan tumpuan kepada bidang kewartawanan.

Kursus pertama diadakan pada 18 Ogos lalu di Kolej Komuniti Kuching. Kursus bertajuk Kewartawanan Data dan Analitikal AI itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Pembelajaran Digital/Digital Smart Learning Coordinator) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ts. Noridah Abu Bakar.

Kursus kedua pula diadakan pada 9 September lalu, bertajuk Penggunaan AI dalam Bilik Berita. Kursus itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Ts. Syahrul Nizam Junaini.

Kedua-dua kursus tersebut berlangsung dari kira-kira jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang dan dihadiri oleh wartawan serta editor.

Dalam pada itu, pembelajaran tentang penggunaan AI dalam bidang kewartawanan amat bermanfaat kerana teknologi tersebut semakin penting dalam industri media seling dengan perkembangan teknologi digital.

Dari sudut penulisan berita, teknologi AI dapat membantu wartawan mencari maklumat, menyediakan draf berita, mentranskripsikan temu bual, menghasilkan bahan multimedia dan menganalisis data dengan lebih pantas.

Bagi editor pula, AI boleh dimanfaatkan untuk menyemak bahasa, memperkemas penulisan, mencadangkan tajuk berita, menghasilkan kandungan media sosial serta membantu mengurus aliran kerja di bilik berita.

Yang pasti, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka peluang baharu dalam industri kewartawanan apabila pelbagai aplikasi digital kini membantu wartawan dan editor menghasilkan berita, grafik, gambar serta video dengan lebih pantas, kreatif dan berkesan.

Penggunaan AI di bilik berita bukan sahaja memudahkan proses penulisan dan penyuntingan, malah membantu pengamal media menjalankan penyelidikan awal, menganalisis data, mentranskripsikan rakaman temu bual serta menyesuaikan kandungan untuk pelbagai platform digital.

Antara aplikasi yang boleh dimanfaatkan termasuklah ChatGPT, Google Gemini dan Microsoft Copilot bagi membantu proses penulisan, penyusunan maklumat, pencadangan tajuk serta penyediaan soalan temu bual.

Dalam aspek penyelidikan, AI boleh membantu meringkaskan dokumen yang panjang, mengenal pasti maklumat penting dan menyusun data bagi memudahkan pemahaman tentang sesuatu isu.

Bagaimanapun, setiap fakta yang digunakan perlu disemak berdasarkan sumber asal bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Teknologi AI turut memperluas keupayaan wartawan untuk menghasilkan bahan visual yang lebih menarik bagi pembaca digital. Aplikasi seperti Canva dan Adobe Firefly boleh membantu menghasilkan infografik, poster berita, ilustrasi konsep dan karusel media sosial berdasarkan maklumat yang dibekalkan.

Walaupun menawarkan pelbagai kemudahan, penggunaan AI dalam kewartawanan masih memerlukan kawalan editorial yang ketat.

Teknologi berkenaan boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat, tersalah menafsir konteks atau mengemukakan maklumat yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak disokong oleh bukti yang mencukupi.

Justeru, penguasaan teknologi berkenaan yang disertai kemahiran menyemak fakta, memahami konteks dan mematuhi etika kewartawanan amat penting bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal tepat, seimbang dan boleh dipercayai.

Dalam landskap media yang semakin berorientasikan digital, penggunaan AI secara bertanggungjawab berpotensi membantu organisasi berita meningkatkan kecekapan kerja, memperkaya penceritaan multimedia dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih menarik tanpa mengabaikan integriti kewartawanan.

Kesimpulannya, AI memberikan peluang kepada wartawan dan editor untuk bekerja dengan lebih cekap, kreatif dan berdaya saing dalam era digital.

Namun, keunggulan sesebuah bilik berita tetap bergantung pada kemahiran mendapatkan maklumat, ketelitian dalam mengesahkan fakta, kepekaan terhadap aspek kemanusiaan serta keberanian mempertahankan integriti editorial.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Bahagia di rumah sendiri

MELANGKAH ke alam perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, sebaliknya menuntut pasangan membina kehidupan baharu dengan penuh tanggungjawab, persefahaman dan kematangan. Antara perkara yang wajar

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road