MELANGKAH ke alam perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, sebaliknya menuntut pasangan membina kehidupan baharu dengan penuh tanggungjawab, persefahaman dan kematangan.
Antara perkara yang wajar dipertimbangkan selepas bernikah ialah keputusan untuk tinggal di kediaman berasingan daripada ibu bapa atau mentua.
Langkah itu dapat memberikan ruang kepada suami isteri untuk menyesuaikan diri, mengenali keperibadian masing-masing dan membina rumah tangga mengikut acuan sendiri.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 190,304 perkahwinan direkodkan di Malaysia pada 2024, meningkat 0.9 peratus berbanding 188,614 pada 2023.
Statistik itu menggambarkan pembentukan keluarga baharu terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Walaupun data berkenaan tidak menunjukkan jumlah pasangan yang tinggal berasingan daripada keluarga selepas berkahwin, isu kediaman tetap penting kerana keputusan mengenai tempat tinggal boleh mempengaruhi pengurusan kewangan, privasi dan hubungan kekeluargaan.
RUANG PRIVASI, HUBUNGAN LEBIH HARMONI
Antara kelebihan tinggi di kediaman sendiri ialah peluang menikmati privasi sebagai pasangan suami isteri.
Mereka boleh mengatur rutin harian, meluangkan masa bersama dan menjalani kehidupan berumah tangga dengan lebih selesa tanpa terlalu memikirkan kehadiran orang lain.
Bagi pasangan Muslim, kediaman berasingan juga memudahkan penjagaan aurat ketika berada di rumah, terutama apabila sebelum ini tinggal bersama-sama ipar-duai yang bukan mahram.
Keadaan ini membolehkan suami isteri menjaga batas pergaulan dengan lebih baik, selain mengurangkan rasa kekok ketika berehat atau melakukan urusan harian.
Tinggal berasingan turut membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya salah faham akibat perbezaan cara hidup, tabiat atau pandangan antara pasangan dengan ahli keluarga.
Hal ini tidak bermakna ibu bapa atau mentua menjadi punca masalah, sebaliknya setiap keluarga mempunyai kebiasaan tersendiri yang memerlukan penyesuaian.
Apabila mempunyai ruang sendiri, pasangan dapat belajar menyelesaikan perselisihan faham secara matang tanpa terlalu bergantung pada pandangan pihak ketiga.
Pada masa sama, hubungan dengan keluarga kedua-dua pihak boleh terus dipelihara melalui kunjungan, komunikasi dan pemberian bantuan apabila diperlukan.

BELAJAR BERDIKARI, MENGURUS KEWANGAN
Kehidupan di kediaman sendiri juga menjadi medan bagi suami isteri mempelajari erti tanggungjawab. Mereka perlu merancang perbelanjaan, membayar bil utiliti, membeli barangan dapur, menyediakan makanan serta membahagikan tugas rumah tangga secara adil.
Tanggungjawab itu dapat memupuk kerjasama dan sikap saling menghargai. Suami isteri akan lebih memahami kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung pada seorang individu sahaja, sebaliknya memerlukan usaha kedua-dua pihak.
Namun, hasrat untuk memiliki kediaman sendiri perlu disertai perancangan kewangan yang realistik. Pasangan boleh mempertimbangkan untuk menyewa rumah yang sesuai dengan kemampuan kewangan sebelum membeli kediaman sendiri apabila keadaan kewangan lebih stabil.
Mereka juga perlu mengambil kira deposit sewa, bil bulanan, kos pengangkutan, perbelanjaan makanan dan simpanan kecemasan supaya kehidupan berdirikan tidak menjadi beban yang menjejaskan hubungan.

UTAMAKAN PERSEFAHAMAN, BUKAN TEKANAN
Walaupun tinggal berasingan mempunyai banyak kelebihan, keadaan setiap keluarga tidak sama. Pasangan yang mempunyai ibu bapa atau mentua yang uzur mungkin perlu tinggal bersama-sama mereka atau menetap berhampiran bagi memastikan kebajikan golongan tersebut terjaga.
Keputusan itu sebaik-baiknya dibincangkan secara terbuka dengan mengambil kira kemampuan kewangan, keperluan penjagaan dan keselelsaan semua pihak.
Kesimpulannya, memiliki rumah sendiri bukanlah ukuran mutlak kebahagiaan rumah tangga. Perkara yang lebih penting ialah pasangan mempunyai ruang untuk membina kehidupan, membuat keputusan bersama dan memelihara keharmonian hubungan.
Tempat tinggal yang selesa, disertai komunikasi yang baik dan sikap saling menghormati, mampu menjadi asas yang kukuh untuk membina keluarga bahagia.



